FEAS26 raikan sedekad inovasi kreatif SCIMPA UUM, himpunkan seni, budaya dan teknologi

- Advertisement / Iklan -

FESTIVAL Apresiasi Seni 2026 (FEAS26) anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dataran Budaya, Pusat Budaya dan Seni (PBS), UUM, dengan menampilkan pelbagai program seni, budaya dan teknologi kreatif bermula hari ini.

Festival selama tiga hari yang dilaksanakan oleh pelajar SCIMPA itu dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan pusat pengajian berkenaan, sekali gus menjadi platform menghimpunkan komuniti akademik, pelajar, penggiat industri dan masyarakat setempat.

Pengarah Program FEAS26, Dr. Syamsul Hirdi Muhid berkata, festival itu dirangka bagi menggalakkan perkongsian ilmu, pembangunan bakat serta kerjasama strategik antara institusi akademik dengan industri kreatif.

“FEAS26 menjadi platform untuk menghimpunkan komuniti akademik, pelajar, pakar industri dan masyarakat setempat dalam meraikan kepelbagaian seni, budaya serta teknologi kreatif, di samping membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pembangunan bakat,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Antara pengisian utama festival ialah Bengkel Pensijilan Penulisan Lagu anjuran Music Authors’ Copyright Protection (MACP) dengan kerjasama SCIMPA dan Faithful Publishing, yang menampilkan penggiat seni Aziz Harun dan Fahimi Rahmat.

- Advertisement / Iklan -

Festival itu turut menampilkan sesi Career Talk bersama CEO@Faculty SCIMPA, Ts. Hairul Sofian yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios, Profesor Adjung SCIMPA, Datuk Afdlin Shauki Aksan selaku Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Nizam Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Datuk Asfarena Samion daripada AfSM Sewtech Academy dan Felo Adjung SCIMPA, Ismail Bob Hashim.

Sesi berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan pelajar secara holistik, persediaan menghadapi alam pekerjaan serta keperluan kemahiran yang relevan dengan kehendak industri kreatif semasa.

“Pendedahan kepada pengalaman dan perkongsian daripada penggiat industri penting bagi membantu pelajar memahami keperluan sebenar pasaran kerja, selain mempersiapkan mereka dengan kemahiran yang bersesuaian untuk menceburi industri kreatif,” katanya.

Selain itu, forum interaktif Hot Seat: Art, AI & Everything In Between – Real Talent or Real Prompt? turut diketengahkan bagi membincangkan penglibatan kecerdasan buatan (AI) dalam dunia seni, termasuk pengaruh teknologi terhadap kreativiti, bakat dan proses penghasilan karya.

Bagi mencungkil bakat baharu dan menggalakkan penyertaan aktif, festival itu turut menganjurkan Pertandingan Nyanyian Suara Nusantara, persembahan Open Mic, Cosplay After Dark: Cultural Classic Night, pertandingan permainan digital Mobile Legends: Bang Bang serta pertandingan kebudayaan Lenggok Cilik Tradisional yang melibatkan murid sekolah rendah.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran karya seni warga universiti dan komuniti, tayangan filem Jubah Untuk Aina serta dokumentari Everest Base Camp. FrameFest pula menghimpunkan projek animasi bagi mengetengahkan hasil kreativiti dalam bidang berkenaan.

Pelbagai aktiviti seni dan kraf secara amali turut disediakan, termasuk pembuatan gelang batik, marbling art, watercolour blow art dan reka bentuk watak wayang kulit, selain pameran seramik oleh Terralia Seramik Studio.

Pengalaman pengunjung turut diperkaya dengan ruang Gen-Z Xperience, aktiviti Glow In The Dark dan FEAS Creative Market yang menawarkan pelbagai jualan sepanjang festival berlangsung.

Penganjuran FEAS26 bukan sahaja meraikan sedekad penubuhan SCIMPA, malah memperkukuh peranannya dalam pembangunan bakat dan kecemerlangan bidang pengurusan industri kreatif serta seni persembahan.

Festival itu juga menyediakan ruang kepada pelajar untuk mengetengahkan hasil karya, meneroka peluang kerjaya dan membina jaringan dengan pemain industri, selain mengeratkan hubungan antara universiti dengan komuniti setempat.

Orang ramai, pelajar dan pengamal media dijemput hadir memeriahkan FEAS26 yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 11 malam setiap hari sepanjang 22 hingga 24 Oktober ini di Dataran Budaya, PBS, UUM, Sintok.