FEAS26: Aziz Harun, Fahimi Rahmat bawa pengalaman industri muzik ke UUM

- Advertisement / Iklan -

PROSES mencipta lagu bukan sekadar menghasilkan melodi dan lirik, sebaliknya memerlukan kreativiti, ilham serta kepekaan terhadap persekitaran, pengalaman yang dikongsikan penyanyi dan penulis lagu, Aziz Harun dan Fahimi Rahmat, bersama kira-kira 80 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam Bengkel Pensijilan Penulisan Lagu, hari ini.

Bengkel anjuran Music Authors’ Copyright Protection (MACP) dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), UUM dan Faithful Publishing itu memberi peluang kepada peserta mendalami proses penciptaan lagu yang lazimnya dilakukan di studio rakaman.

Aziz Harun

Aziz berkata, beliau melihat penyertaan dalam program berkenaan sebagai peluang untuk berkongsi pengalaman dan memperlihatkan kepada peserta bagaimana proses penulisan lagu dilaksanakan dalam industri muzik.

- Advertisement / Iklan -

“Biasanya, apabila kita pergi ke sesuatu acara, kita akan membuat persembahan. Tetapi kali ini, kita menulis lagu, iaitu perkara yang selalu kita lakukan di studio, dan mempersembahkan proses itu kepada orang lain,” katanya Ketika ditemui.

Menurutnya, pengalaman itu membolehkan peserta melihat sendiri proses kreatif di sebalik penghasilan sesebuah lagu, selain memahami bahawa idea penulisan boleh berkembang mengikut ilham dan situasi semasa.

- Advertisement / Iklan -

Mengulas mengenai pendekatan penulisan lagu, Fahimi berkata, proses mencipta karya tidak semestinya terikat pada satu formula tertentu kerana idea boleh muncul berdasarkan apa yang dirasakan oleh penulis ketika itu.

“Dia ikut angin, tengoklah apa yang kita rasa ketika itu,” katanya ketika berkongsi pandangan mengenai kebebasan berkarya dalam penulisan lagu.

Beliau turut menjelaskan bahawa penulisan lagu boleh bermula daripada idea spontan sebelum dikembangkan menjadi lirik dan melodi mengikut kesesuaian genre muzik, termasuk muzik pop kontemporari.

Dalam perkembangan kerjaya, Aziz memaklumkan beliau telah melancarkan dua single sepanjang tahun ini, termasuk karya kolaborasi bersama penulis lagu dari Malaysia dan sebuah kumpulan muzik dari Bandung, Indonesia.

Fahimi Rahmat

Fahimi pula berkata, beliau baru melancarkan sebuah lagu kira-kira sebulan lalu dan kini sedang menyiapkan karya duet yang dijadualkan dilancarkan pada November ini.

Bagi Fahimi, pemilihan mereka untuk terlibat dalam bengkel itu juga membuka ruang untuk berkongsi pengalaman sebagai penulis lagu yang aktif menghasilkan karya dengan golongan pelajar yang berminat menceburi industri muzik.

Beliau berharap program berkenaan dapat berjalan lancar dan memberikan manfaat kepada peserta, khususnya melalui pendedahan secara langsung terhadap proses penciptaan lagu serta pengalaman penggiat industri.

Bengkel itu merupakan antara pengisian Festival Apresiasi Seni 2026 (FEAS26) yang berlangsung dari 22 hingga 24 Oktober di Dataran Budaya, Pusat Budaya dan Seni (PBS), UUM, bersempena sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan SCIMPA.

Penganjuran festival berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi akademik dengan industri kreatif, di samping menyediakan ruang kepada pelajar dan masyarakat untuk meneroka bidang seni, budaya serta teknologi kreatif.