Lepasan SPM, jangan panik! UPUOnline dilanjutkan hingga 12 April

- Advertisement / Iklan -
Tarikh permohonan UPUOnline bagi sesi akademik 2026/2027 dilanjutkan daripada tarikh tutup asal yang dijadualkan pada 23 Mac kepada 12 April 2026.

BERITA baik untuk lepasan SPM apabila tarikh permohonan UPUOnline bagi sesi akademik 2026/2027 dilanjutkan daripada tarikh tutup asal yang dijadualkan pada 23 Mac kepada 12 April 2026.

Pengumuman ini dibuat susulan kenyataan media rasmi KPM pada Isnin berkaitan keputusan peperiksaan SPM 2025, seterusnya memberi ruang lebih selesa bagi pelajar membuat pilihan program pengajian yang sesuai..

Bagaimanapun, bagi calon lepasan STPM atau setaraf, tarikh tutup permohonan kekal pada 23 Mac 2026, jadi mereka perlu memastikan permohonan dihantar tepat pada masanya.

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataan berkata, bagi yang masih belum membeli no pin UPUOnline, ia boleh diperoleh melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) pada harga RM10.60 (termasuk caj perkhidmatan).

- Advertisement / Iklan -

"Pembelian boleh dibuat melalui kaunter BSN, ATM BSN, atau perbankan internet myBSN. Penting untuk menyimpan slip pembayaran sebagai bukti sebelum mula mengisi permohonan secara dalam talian.

"Calon lepasan SPM kini berpeluang memilih daripada 363 program pengajian yang ditawarkan di seluruh negara oleh Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti, dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT). Pilihan program ini merangkumi bidang sains, teknologi, kejuruteraan, pendidikan, seni dan banyak lagi," kata kenyataan itu.

- Advertisement / Iklan -

Pelajar juga dinasihatkan untuk menghantar permohonan lebih awal, bagi mengelakkan masalah teknikal atau kesesakan trafik sistem UPUOnline.

Pastikan setiap permohonan disahkan dengan menekan butang “Saya Setuju” dan slip permohonan dicetak atau dimuat turun sebagai bukti bahawa permohonan berjaya dihantar.

“Peluang lanjutan ini memberi masa tambahan kepada calon SPM untuk menilai pilihan program dengan lebih teliti dan membuat permohonan tanpa tergesa-gesa. Pastikan permohonan lengkap, program yang dipilih selari dengan minat, dan simpan slip sebagai bukti,” katanya.

Dengan lanjutan tarikh ini, calon lepasan SPM kini boleh merancang perjalanan pendidikan tinggi mereka dengan lebih matang, mengurangkan tekanan dan memastikan langkah pertama ke universiti berjalan lancar.