SEMANGAT kebersamaan antara universiti dan komuniti terus dizahirkan apabila Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan program Sentuhan Kasih Ramadan UiTM bersama Surau Al-Ansor, Seksyen 2 Shah Alam, yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan keberkatan.
Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu membawa kegembiraan kepada 32 penerima terdiri daripada anak-anak yatim dan penjaga dari Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Ulin Nuha, Klang, yang diraikan melalui pelbagai pengisian sepanjang program tersebut.
Lebih istimewa, program ini turut menghimpunkan warga universiti, komuniti setempat, wakil industri, alumni serta sukarelawan pelajar UiTM yang berganding bahu menjayakan aktiviti kemasyarakatan bersempena bulan Ramadan.
Antara pengisian menarik yang dianjurkan termasuk rewang bubur lambuk secara gotong-royong, pemeriksaan mata percuma oleh Fakulti Sains Kesihatan UiTM, sesi perkongsian ilmu Ramadan oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), serta perkongsian ilmu kesihatan oleh Fakulti Perubatan.
Turut diadakan ialah sesi perkongsian industri dan alumni bersama komuniti yang disampaikan oleh Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM sebagai usaha merapatkan hubungan antara universiti dan masyarakat.
Dalam majlis tersebut, seramai 27 anak yatim dan lima penjaga menerima sumbangan duit raya berjumlah keseluruhan RM6,720.
Daripada jumlah itu, RM1,600 disumbangkan oleh UiTM melalui Bahagian Zakat, Wakaf dan Sedekah UiTM, manakala RM5,120 lagi disumbangkan oleh Syrna Setara Resources Sdn. Bhd.
Sumbangan daripada pihak industri disalurkan oleh Ts. Azhar Jemani, Pengarah Urusan Syrna Setara Resources Sdn. Bhd. yang juga alumni UiTM dan CEO@Faculty yang diwakili oleh Mohd Iqbal Hanif Muhamed Rusdi dalam majlis tersebut.
Melalui sumbangan berkenaan, setiap penerima menerima RM210 seorang sebagai tanda keprihatinan kepada golongan yang diraikan sepanjang bulan Ramadan.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, serta Pengerusi Surau Al-Ansor Seksyen 2 Shah Alam, Datuk Pahlawan Zakaria Yusof bersama barisan pengurusan kanan universiti, wakil industri dan komuniti setempat.
Menurut Shahrin, program tersebut mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti, komuniti, industri dan alumni melalui aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata, program Sentuhan Kasih Ramadan bukan sekadar mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform untuk mengeratkan ukhuwah serta menghubungkan universiti dengan masyarakat secara lebih dekat.
“Sokongan daripada rakan industri, alumni dan komuniti amat penting dalam memastikan usaha sebegini dapat diteruskan.
"UiTM amat menghargai kerjasama semua pihak dalam menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Program tersebut turut melibatkan 16 sukarelawan pelajar UiTM yang membantu menjayakan aktiviti termasuk penyediaan bubur lambuk sebelum diagihkan kepada penduduk sekitar Shah Alam.
Program diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama komuniti, diikuti solat Maghrib dan Tarawih berjemaah serta moreh, sekali gus menyemarakkan suasana Ramadan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga universiti dan masyarakat setempat.