626.5kg e-waste dikutip mahasiswa UiTM di Pulau Pangkor

- Advertisement / Iklan -
Kempen Environmental Awareness Campaign: Pangkor Edition 2026 satukan mahasiswa dan komuniti dalam gerakan kelestarian

BARANG elektronik rosak jangan terus campak, mungkin ada ‘hidup kedua’ yang lebih berguna. Itu antara mesej yang dibawa mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) apabila turun dari rumah ke rumah di Kampung Teluk Kecil, Pulau Pangkor untuk mengumpulkan sisa elektrik dan elektronik (e-waste).

Dalam misi hijau itu, sebanyak 626.5 kilogram (kg) e-waste berjaya dikumpulkan, sekali gus membuktikan usaha menjaga alam sekitar boleh bermula dengan perkara paling dekat dengan kita iaitu barang lama yang sudah tidak lagi digunakan.

Kutipan itu merupakan sebahagian daripada Environmental Awareness Campaign: Pangkor Edition 2026 anjuran Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter (RAS UiTM SC), dengan penglibatan komuniti setempat serta EDSHA Solutions Sdn. Bhd. sebagai rakan kolaborasi dalam pengumpulan dan pengurusan sisa elektrik dan elektronik.

Penasihat RAS UiTM SC, Ts. Nur Ain Mohd Zainuddin berkata, pendekatan turun padang dipilih bagi memastikan mesej kelestarian tidak berhenti pada sesi ceramah, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan bersama masyarakat.

- Advertisement / Iklan -

“Hasil usaha tersebut, sebanyak 626.5 kilogram e-waste berjaya dikumpulkan melibatkan pelbagai barangan seperti televisyen, mesin kerusi urut, vakum, pengering rambut, cerek elektrik, laptop, penimbang, mesin kira wang, pencetak, penapis air, peti ais, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro, sistem bunyi, pembesar suara, telefon dan seterika.

- Advertisement / Iklan -

“Program ini berjaya diterjemahkan sebagai satu inisiatif kelestarian yang tersusun, bermakna dan berimpak positif kepada mahasiswa serta komuniti setempat,” katanya ketika ditemui di UiTM Shah Alam, baru-baru ini.

Program berkenaan diketuai Pengarah Program, Dania Izzati Ifwat Hadif bersama Timbalan Pengarah Program, Qamarul Iqram Mohd Saharin.

Menurut Nur Ain, antara pengisian utama kempen ialah E-Waste Awareness Session: Save the Environment, Save Ourselves yang disampaikan pegawai Unit Pendidikan dan Pengawasan, Bahagian Pembangunan, Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, Maizah Idris.

“Sesi ini memberi pendedahan berkaitan kesan negatif sisa elektrik dan elektronik, kaedah pelupusan yang betul, pengurusan sisa lestari serta kepentingan tanggungjawab bersama dalam mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Pengisian program bukan sahaja menyampaikan kesedaran, malah menggerakkan tindakan nyata ke arah pembentukan komuniti yang lebih peka, bertanggungjawab dan lestari,” katanya.

Bukan e-waste sahaja menjadi perhatian. Kempen itu turut mengajak komuniti melihat semula tabiat harian berkaitan penggunaan plastik dan penjagaan kawasan pesisir pantai.

Pada hari pertama, peserta menyertai Waste2Art: Creative Recycling Workshop iaitu aktiviti kreatif berkonsepkan upcycling yang memberi peluang kepada mereka menghasilkan kerongsang dan beg tote menggunakan pakaian serta kain terpakai.

Program diteruskan dengan No Single Use Plastic Talk and Game: Reducing Plastic yang dikendalikan ahli RAS bagi berkongsi dengan komuniti mengenai kepentingan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

“Perkongsian turut memberi pendedahan tentang kesan pembuangan sisa plastik terhadap kebersihan pesisir pantai, hidupan marin serta imej Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancongan yang perlu dipelihara,” katanya.

Pendekatan santai dan interaktif turut digunakan untuk menarik penglibatan penduduk setempat.

Hasilnya, komuniti mula menunjukkan kesedaran yang lebih positif apabila mengambil inisiatif mengumpulkan sisa plastik yang bertaburan di sekitar rumah dan kawasan kampung.

Nur Ain berkata, program itu bukan sekadar aktiviti kesukarelawanan mahasiswa, sebaliknya menjadi medan pendidikan lapangan yang menghubungkan ilmu dengan tindakan serta penglibatan masyarakat.