SUASANA dukacita menyelubungi Multimedia University (MMU) apabila universiti itu mengisytiharkan tempoh berkabung sehingga Jumaat ini sebagai tanda penghormatan terhadap Canselor pertamanya, Almarhumah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Presiden MMU, Profesor Datuk Ts. Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, seluruh warga universiti amat merasai kehilangan tokoh yang mempunyai hubungan istimewa dengan MMU sejak dilantik sebagai canselor pertama pada 1997.
“Seluruh warga MMU mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Almarhumah dan MMU berkabung sehingga Jumaat ini,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Kecerdasan Buatan Untuk Pengamal Media Profesional anjuran MMU dengan kerjasama Kelab Media Putrajaya.
Sebagai tanda penghormatan, MMU mengibarkan bendera pada separuh tiang di kedua-dua kampus bermula semalam hingga Jumaat ini.
Universiti itu turut mengadakan majlis tahlil di Surau Al-Hidayah, kampus MMU Cyberjaya dan Surau Al-Irsyad, kampus MMU Melaka pada Khamis malam Jumaat serta setiap kali selepas solat Zohor.
Almarhumah dilantik sebagai Canselor pertama MMU pada 20 Jun 1997 dan memegang jawatan itu sehingga 2012.
Namun, berakhirnya tempoh sebagai canselor tidak memutuskan hubungan beliau dengan universiti berkenaan apabila Almarhumah terus hadir dalam pelbagai acara dan aktiviti MMU, selain meluangkan masa bersama warga serta pelajar.
Keakraban itu menyebabkan Almarhumah turut dikenali sebagai ‘Ibu Universiti’ dalam kalangan warga MMU, gelaran yang menggambarkan hubungan erat beliau dengan institusi berkenaan selama bertahun-tahun.
Mazliham berkata, pemergian Almarhumah bukan sahaja dirasai warga MMU, malah merupakan kehilangan besar buat negara khususnya dalam bidang pendidikan tinggi.
“Beliau bukan sahaja Canselor pertama MMU, tetapi juga seorang tokoh yang sentiasa dekat dengan warga universiti dan memberikan sokongan kepada pelbagai aktiviti yang kami anjurkan.
Lebih menyentuh hati, kenangan terakhir Almarhumah bersama warga MMU tercipta hanya beberapa hari sebelum pemergiannya.
Pada Rabu minggu lalu, Almarhumah hadir ke program Beyond The Stage Orchestra di Dewan Tun Canselor, MMU Cyberjaya.
Dalam program itu, Almarhumah turut membuat persembahan istimewa dengan memainkan biola, meninggalkan satu kenangan manis buat warga universiti yang kini menjadi antara detik terakhir beliau bersama MMU.
Daripada seorang canselor kepada gelaran ‘Ibu Universiti’, hubungan Almarhumah dengan MMU yang terjalin hampir dua dekad terus menjadi sebahagian daripada sejarah dan kenangan warga kampus.