PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi pemacu pembangunan bakat negara apabila graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) mencatatkan kadar kebolehpasaran masing-masing 98.5 peratus bagi politeknik dan 98.8 peratus bagi kolej komuniti pada 2025.
Menurut kenyataan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), pencapaian itu membuktikan graduan PolyCC terus mendapat kepercayaan dan tempat dalam sektor industri berikutan penguasaan kemahiran yang relevan, pengalaman praktikal serta pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar.
“TVET kini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya semakin menjadi pemacu utama pembangunan bakat negara melalui penguasaan kemahiran, peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) yang selari dengan perubahan teknologi serta keperluan ekonomi semasa,” menurut kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, landskap pasaran pekerjaan yang semakin dinamik dan kompetitif menyebabkan industri memerlukan bakat yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi turut mempunyai kemahiran praktikal, kompetensi teknikal, keupayaan menyelesaikan masalah, daya adaptasi dan kesediaan untuk terus belajar.
Keperluan tersebut diterjemahkan melalui pendidikan TVET di PolyCC yang memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan amali, pengalaman industri serta kurikulum yang responsif terhadap kehendak semasa.
Pendekatan itu membentuk graduan yang job-ready, kompeten dan mampu memberikan nilai tambah kepada organisasi sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan.
“Graduan PolyCC bukan sekadar bersedia untuk mengisi peluang pekerjaan yang tersedia, malah berpotensi menjadi pencipta peluang, penggerak inovasi dan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.
Kejayaan PolyCC turut dipacu menerusi sinergi strategik bersama 23,580 rakan industri melalui wadah kolaborasi berimpak tinggi.
Perkara itu turut diketengahkan menerusi Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ke-27 yang berlangsung pada Sidang 5 Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026.
Menurut kenyataan itu, Konvokesyen PSA ke-27 bukan sekadar peristiwa meraikan kejayaan akademik para graduan, malah menjadi simbol perjalanan transformasi bakat TVET dalam melahirkan modal insan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia mendepani masa hadapan.
Mengangkat tema “Melonjak Potensi, Mencipta Legasi”, konvokesyen kali ini membawa mesej bahawa setiap graduan mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh, mencipta nilai dan meninggalkan impak yang bermakna kepada industri, masyarakat serta negara.
Majlis pada kali ini meraikan 4,581 graduan politeknik dan 2,281 graduan kolej komuniti di Zon Tengah.
Bagi Sidang 5, seramai 920 graduan PSA menerima ijazah sarjana muda, diploma serta sijil dalam bidang Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal dan Perdagangan.
PSA turut menobatkan Anugerah Pengarah kepada tiga graduan iaitu Muhamad Arif bin Ahmad Fahmi dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal bagi Diploma Kejuruteraan Mekanikal; Mai Layla Salkin binti Zakaria dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik bagi Diploma Kejuruteraan Elektronik (Perubatan); dan Nik Nor Afifah bin Nik Mohammad Jafri dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik bagi Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Elektronik Perubatan) dengan Kepujian.
Ketiga-tiga graduan berkenaan mencatatkan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.50 dan ke atas, selain menyerlah melalui penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti di luar bidang akademik.
Menurut kenyataan itu, kecemerlangan yang ditampilkan membuktikan pencapaian mereka tidak terhad kepada prestasi akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kepimpinan, tanggungjawab, komunikasi, kerja berpasukan serta penglibatan dalam pertandingan dan aktiviti kokurikulum.
Pencapaian itu memperlihatkan ketiga-tiga graduan berkenaan sebagai graduan holistik yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sumbangan kepada komuniti, sekali gus mencerminkan aspirasi PSA dalam melahirkan modal insan TVET yang kompeten, berdaya saing dan mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi.
Kejayaan mereka menjadi bukti bahawa kecemerlangan akademik yang disokong dengan pengalaman, kepimpinan dan penglibatan aktif mampu membentuk graduan yang bukan sahaja bersedia untuk dunia pekerjaan, malah berpotensi menjadi pemimpin dan penyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.
Menurut kenyataan itu, Konvokesyen PSA ke-27 menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang lebih besar kerana segulung diploma bukan noktah, tetapi tiket untuk melangkah lebih jauh, mencipta peluang, menyelesaikan cabaran dan membina masa hadapan.
Hari ini diraikan sebagai graduan, esok mereka tampil sebagai penggerak industri, pencipta nilai dan pembina masa hadapan negara.