PELUANG mendapatkan biasiswa bagi mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin terbuka susulan pertambahan agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan pembiayaan, peningkatan peruntukan serta kesedaran terhadap keperluan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan sektor berteknologi tinggi.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, perkembangan itu penting bagi memastikan pelaburan yang dibawa ke negara ini dapat diterjemahkan kepada penciptaan pekerjaan dan manfaat kepada masyarakat, khususnya menerusi penyediaan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri.
"Secara amnya, ia semakin meningkat dan sudah tentu kami mahu pastikan ia diperluaskan lagi serta tawaran tidak terhad kepada institusi sedia ada tetapi juga institusi lain seperti universiti awam.
"Ini bagi memastikan akses mendapatkan biasiswa itu tidak hanya terhad kepada akademi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Biasiswa 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka (KOMBES) Ayer Keroh, pada Sabtu.
Adam Adli berkata, peningkatan penawaran biasiswa daripada pelbagai pihak itu juga didorong oleh keperluan sektor berteknologi tinggi, termasuk pusat data dan semikonduktor yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran daripada institusi TVET di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Ini juga bagaimana kita menyiapkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berpendidikan tinggi... seperti yang kita lihat pelaburan yang telah pun dibawa ke negara ini, memerlukan tenaga kerja mahir. Kalau tidak, manfaat pelaburan itu tidak sampai kepada masyarakat di luar sana," katanya.
Sementara itu, Adam Adli berkata, penganjuran Hari Biasiswa 2026 yang julung kali diadakan KPT di Melaka memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat mengenai pelbagai bentuk penajaan pendidikan tinggi di bawah satu platform.
Beliau berkata, program berkenaan menghimpunkan 22 pempamer yang melibatkan agensi kerajaan, pihak korporat, swasta serta kedutaan yang menawarkan peluang biasiswa, termasuk untuk pengajian di Jepun, Amerika Syarikat, Hungary dan Rusia yang berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 pengunjung, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.
"Kami harap ia boleh diteruskan lagi selepas ini dengan skala lebih besar. Mungkin lokasi hari ini selesa tapi pada masa hadapan, kami mungkin akan lihat juga kalau boleh diadakan dalam universiti, kolej dan tempat-tempat lain supaya boleh dipelbagaikan lagi akses dan pengunjung," katanya. - Bernama