1,349 pelajar pilih Agrobio, UPM terus perkasa bakat pertanian

- Advertisement / Iklan -
Dr. Arifin (tengah) beramah mesra dengan ibu bapa yang menghantar anak-anak mendaftar di Kolej Zaaba.
Hampir 28 peratus daripada 4,824 pelajar baharu bakal mengikuti bidang Agrobio dan berkaitan pertanian

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh peranannya dalam melahirkan generasi baharu pertanian apabila seramai 1,349 pelajar bakal mengikuti pengajian dalam bidang Agrobio dan berkaitan pertanian bagi sesi akademik 2026/2027.

Naib Canselor UPM, Profesor Dr Arifin Abdu berkata, jumlah itu mewakili hampir 28 peratus daripada keseluruhan 4,824 pelajar baharu program Bacelor yang dijangka mendaftar di UPM bagi sesi akademik berkenaan.

Menurutnya, pengambilan dalam bidang Agrobio dan pertanian meningkat sebanyak 30 orang berbanding 1,319 pelajar pada 2025, sekali gus memperlihatkan pertanian kekal sebagai bidang teras UPM.

“Keterjaminan makanan negara memerlukan generasi yang mampu membawa ilmu dan teknologi ke dalam sektor pertanian. Inilah antara tanggungjawab yang mahu kami galas melalui pendidikan di UPM,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Arifin melawat bilik kediaman pelajar di Kolej Zaaba

Beliau berkata, pelajar juga perlu melihat ruang sumbangan mereka dalam meningkatkan pengeluaran, menjaga kualiti makanan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi sektor agromakanan.

- Advertisement / Iklan -

“Kepakaran yang dibina sepanjang pengajian diharapkan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.

Menurut Arifin, bagi sesi akademik kali ini, UPM menawarkan pelbagai program dalam bidang pertanian yang merangkumi sains, teknologi dan kejuruteraan, antaranya Bacelor Sains Pertanian dengan Kepujian, Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian, Bacelor Sains dan Teknologi Makanan dengan Kepujian serta Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian.

"Secara keseluruhan, pengambilan 4,824 pelajar baharu itu melibatkan Kampus Serdang dan UPM Sarawak, termasuk 194 pelajar di UPM Sarawak.Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 1,717 pelajar lelaki dan 3,107 pelajar perempuan dijangka mendaftar.

“Bagi kami, setiap tempat yang ditawarkan membawa tanggungjawab untuk membantu pelajar memperoleh ilmu dan membina masa depan melalui pendidikan,” katanya.

Dr. Arifin (empat dari kanan), beramah mesra dengan pelajar baharu selepas sidang media mengenai kemasukan pelajar sesi akademik 2026/2027 di UPM, Serdang.

Arifin berkata, dalam memastikan pendidikan tinggi dapat diakses pelajar daripada pelbagai latar belakang, UPM turut menawarkan tempat pengajian peringkat Bacelor kepada 1,923 pelajar cemerlang daripada keluarga B40 pada tahun ini.

"Selain itu, seramai sembilan pelajar Orang Asli dan 10 pelajar dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) turut dijangka mendaftar di UPM Kampus Serdang," katanya.

Arifin berkata, peluang memasuki universiti perlu disusuli sokongan yang membantu pelajar meneruskan pengajian dengan baik, termasuk melalui bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan.

"Menerusi Inisiatif Ziarah Kasih, UPM menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan awal bagi meringankan beban pelajar ketika pendaftaran dan pada peringkat awal pengajian.

“Kejayaan seorang pelajar juga boleh membuka peluang untuk mengubah masa depan keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, UPM turut menerima 96 atlet negara untuk melanjutkan pengajian bagi sesi akademik 2026/2027, yang mempunyai pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa dalam sukan seperti olahraga, ragbi, bola jaring, gimnastik, hoki dan skuasy.

"Antara atlet berkenaan ialah Alia Batrisya Nasaruddin, atlet kebangsaan dalam acara lompat jauh dan lompat kijang yang menyertai Sukan SEA 2025 yang bakal mengikuti program Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani) dengan Kepujian di Fakulti Pengajian Pendidikan.

"Turut bakal bergelar mahasiswa UPM ialah atlet skuasy negara, Anrie Goh Chu Yu, yang menyertai Kejohanan WSF World Junior Squash yang akan mengikuti program Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia dengan Kepujian di Fakulti Pengajian Pendidikan," katanya.

Ibu bapa yang bersama anak-anak membawa barangan keperluan semasa hari pendaftaran.

Menurutnya,, UPM turut menawarkan tempat kepada pemain ragbi kebangsaan yang menyertai Kejohanan Asia Rugby Emirates U20 Sevens serta pemain bola jaring kebangsaan yang menyertai Netball World Youth Cup 2025.

"Sebahagian besar pemain ragbi berkenaan akan mengikuti program Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani) dengan Kepujian, manakala kebanyakan pemain bola jaring bakal melanjutkan pengajian dalam program Bacelor Komunikasi dengan Kepujian di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

“Kami mahu atlet negara berpeluang meraih kejayaan di arena sukan sambil membina masa depan melalui pendidikan. Kecemerlangan akademik dan pencapaian sukan perlu mendapat sokongan yang seiring,” katanya.