Hari graduasi bertukar hiba, 5,000 hadirin berdiri kenang dua graduan PUO

- Advertisement / Iklan -
Waris Muhammad Daniel dan Nur Amalina terima anugerah serta diploma pada Sidang 2 Konvokesyen PolyCC Zon Tengah 2026

SUASANA Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertukar hiba apabila kira-kira 5,000 hadirin bangun memberikan penghormatan ketika penyampaian anugerah anumerta dan diploma kepada waris dua graduan Politeknik Ungku Omar (PUO) yang telah meninggal dunia.

Detik menyentuh hati itu berlangsung pada Sidang 2 Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Zon Tengah Tahun 2026, hari ini, sekali gus menjadi antara momen paling meninggalkan kesan sepanjang dua hari penyertaan PUO.

Dalam suasana penuh sebak itu, Allahyarham Muhammad Daniel Zamsari, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), menerima Anugerah Kecemerlangan secara anumerta selepas meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Turut disampaikan diploma kepada ibu bapa Allahyarhamah Nur Amalina Shafari, graduan Diploma Pengurusan Perniagaan yang telah menamatkan pengajian dan hanya menunggu hari konvokesyen sebelum meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan lori ketika bekerja sambilan bagi mengumpul wang untuk menampung kos menghadiri majlis konvokesyen.

- Advertisement / Iklan -

Hadirin kemudian berdiri serentak sebagai tanda penghormatan kepada kedua-dua graduan, manakala hadirin beragama Islam turut menyedekahkan bacaan Al-Fatihah buat roh mereka.

- Advertisement / Iklan -

Kejayaan yang sepatutnya diraikan bersama keluarga akhirnya menjadi kenangan yang cukup bermakna apabila waris menerima pengiktirafan dan diploma bagi pihak kedua-dua graduan.

Sepanjang dua hari, PUO meraikan seramai 1,579 graduan merangkumi 63 lulusan Sarjana Muda, 1,513 lulusan Diploma dan tiga lulusan Sijil.

Daripada jumlah itu, 1,002 graduan ialah lelaki manakala 577 graduan perempuan. Seramai 1,398 graduan hadir pada majlis konvokesyen, 76 tidak hadir manakala status kehadiran 105 graduan tidak disahkan.

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) mencatatkan jumlah graduan hadir tertinggi dengan 361 orang, diikuti Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) seramai 328 orang, Jabatan Perdagangan (JP) 298 orang, Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) 260 orang, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) 116 orang serta Jabatan Kejuruteraan Perkapalan (JKP) 35 orang.

Kepelbagaian bidang itu mencerminkan peranan PUO dalam melahirkan bakat TVET merangkumi bidang kejuruteraan, teknologi, perdagangan dan kemahiran teknikal yang diperlukan industri.

Dalam pada itu, seramai 25 graduan cemerlang menerima pengiktirafan menerusi enam kategori Anugerah Kecemerlangan sebagai penghargaan terhadap pencapaian dalam akademik, kokurikulum, kepimpinan, industri dan penghasilan projek.

Ia merangkumi lima penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, seorang Anugerah Khas (Sarjana Muda), seorang Anugerah Khas Kepimpinan, lapan Anugerah Khas Industri, sembilan Anugerah Projek Terbaik dan seorang Anugerah Pengarah.

Penyertaan PUO dalam Majlis Konvokesyen PolyCC Zon Tengah 2026 berlangsung selama dua hari, 24 dan 25 September, manakala majlis berkenaan secara keseluruhannya berlangsung dalam lapan sidang dari 24 September hingga 1 Oktober 2026.

Bagi PUO, konvokesyen itu bukan sekadar meraikan pencapaian akademik, malah menjadi ruang menghargai perjalanan setiap graduan serta keluarga yang sentiasa menjadi sebahagian daripada perjuangan mereka.