Cabaran kontinjen Malaysia di WMS Shanghai 2026 bermula hari ini

- Advertisement / Iklan -
Foto Bernama
22 anak muda pertaruh kemahiran, bawa harapan Malaysia menamatkan penantian emas WSC

CABARAN kontinjen Malaysia pada WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026 bermula hari ini dengan misi emas pertama menjadi antara fokus 22 peserta belia negara di pentas kemahiran paling berprestij di dunia.

Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di sini menjadi saksi anak-anak bangsa bertungkus-lumus mempersiapkan diri bagi menghadapi pertandingan kemahiran bertaraf antarabangsa itu.

Kategori kemahiran antaranya ialah teknologi pembuatan dan kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi pembinaan dan bangunan serta seni kreatif dan fesyen.

Penyertaan Malaysia dalam WorldSkills Shanghai 2026 merupakan sebahagian daripada inisiatif global yang diterajui China dalam memperkukuh hubungan dua hala berlandaskan kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif.

- Advertisement / Iklan -

Malaysia yang menyertai 21 daripada 64 bidang kemahiran dipertandingkan bagi edisi ke-48 WSC meletakkan sasaran tinggi untuk menamatkan penantian pingat emas pertama sejak penyertaan sulung negara pada 1995.

WSC Shanghai 2026 menampilkan tiga fokus utama iaitu Skill Competitions dan Worldskills Expo dari 23 hingga 26 Sept, manakala WorldSkills Conference diadakan dari 23 hingga 25 Sept ini.

- Advertisement / Iklan -

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kontinjen negara telah membuat persiapan bagi edisi kali ini selepas selesai kejohanan sebelum ini di Lyon, Perancis.

Ahmad yang juga ketua kontinjen WSC negara berkata tempoh persediaan panjang selama dua tahun itu mencerminkan komitmen negara menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memburu kejayaan di Shanghai.

Foto Bernama

Ahmad berkata, beliau mempunyai keyakinan tinggi terhadap keupayaan kontinjen negara bersandarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan pada kejohanan peringkat serantau sebelum ini.

Beliau menegaskan kejayaan menjuarai WorldSkills ASEAN Manila 2025 dengan 13 pingat emas serta kedudukan ketiga terbaik Asia di WorldSkills Asia Taipei 2025 membuktikan kualiti tinggi bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia.

"Selain daripada itu, persiapan kita juga adalah dengan mengadakan tiga kali kem bina semangat pada tahun ini dan mereka juga dihantar ke pertandingan persahabatan di peringkat dunia.

"Ada yang kita hantar ke China, ada ke Australia, Rusia dan Perancis. Jadi usaha kita nampak bersungguh untuk memastikan kemenangan (pada WSC Shanghai 2026),” katanya.

Sebanyak 22 peserta muda negara berentap dalam 21 bidang kemahiran bertaraf antarabangsa di WSC Shanghai 2026 dengan kejohanan itu menghimpunkan 1,400 profesional muda berkemahiran terbaik dari lebih 65 negara dan wilayah, yang mewakili 64 bidang kemahiran. - Bernama