Pentas kemahiran jadi medan Xin Wan

- Advertisement / Iklan -
Xin Wan berkata pengalaman julung kali beraksi di pentas antarabangsa menerusi WSC Shanghai 2026 membawa makna yang cukup mendalam buatnya. Foto Bernama
Inspirasi Chong Wei cetus semangat pelajar UTeM bawa cabaran Malaysia di WSC Shanghai

PENGALAMAN kali pertama beraksi di pentas antarabangsa menerusi WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026 membawa makna yang cukup mendalam buat peserta negara bagi Ujian Perisian, Sia Xin Wan.

Pemuda berusia 21 tahun itu berkata beliau menjadikan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei sebagai inspirasi utama untuk mewakili Malaysia.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian) dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu berkata, hasrat untuk memikul amanah mewakili negara di arena antarabangsa telah lama tersemat dalam dirinya sejak kecil.

"Apabila terpilih saya memang sangat gembira, saya ada satu impian, dulu ketika waktu kanak-kanak saya nampak Datuk Lee Chong Wei bermain badminton. Saya pun rasa mahu mewakili Malaysia.

- Advertisement / Iklan -

"Dari segi sukan, (prestasi) saya tak begitu baik, tetapi apabila peluang ini (WSC) sampai, memang saya perlu lakukan baik-baik kali ini," katanya.

Komitmen jitu anak jati Rawang, Selangor itu dibuktikan menerusi tindakan berani menangguhkan pengaian selama satu semester di UTeM demi memberikan tumpuan penuh terhadap latihan intensif selama enam bulan bagi menguasai modul saingan.

- Advertisement / Iklan -

Xin Wan. Foto Bernama

Menyedari cabaran sengit daripada peserta negara lain seperti China yang membuat persiapan seawal empat tahun lepas, Xin Wan berkata, beliau meletakkan sasaran peribadi untuk memburu pingat emas demi mencipta sejarah sulung buat kontinjen negara.

Kesediaan mental dan keupayaan menguasai empat modul utama saingan terutama ujian prestasi menjadi senjata utama beliau ketika menggalas cabaran negara dalam pertandingan itu yang diadakan di Pusat Pameran dan Persidangan Kebangsaan (NECC) di sini.

"Memang ada sasaran sebab peluang untuk bertanding di WSC ini hanya sekali seumur hidup, memang sasaran mahu raih emas. Cuma secara jujurnya memang ada jarak dengan (persediaan) pesaing lain seperti China, mereka sudah bersedia sejak empat tahun lepas,” katanya.

Penuntut UTeM itu berkata, beliau terpilih menerusi saringan khas anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dengan kerjasama sebuah syarikat dari China yang menguji 15 calon awal sebelum memuktamadkan wakil tunggal negara bagi bidang baharu itu.

Xin Wan merupakan antara 22 peserta muda negara yang berentap dalam 21 bidang kemahiran bertaraf antarabangsa di WSC Shanghai 2026.

WSC Shanghai 2026 menghimpunkan 1,400 profesional muda berkemahiran terbaik dari 65 negara dan wilayah, yang mewakili 64 bidang kemahiran. - Bernama