KEHILANGAN ibu bapa dan tiga adik perempuan dalam tragedi kebakaran pada Februari lepas tidak menghalang Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, mengejar impiannya untuk bergelar pendidik.
Ruby Adalia Balqis merupakan antara 4,455 pelajar baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mendaftar bagi kemasukan sesi September tahun ini.
Beliau berkata langkahnya ke menara gading bukan sekadar permulaan bagi fasa baharu dalam kehidupan malah juga menjadi ruang untuk meneruskan impian yang dibina bersama keluarganya.
"Langkah saya ke UPSI bukan sahaja permulaan fasa baharu kehidupan. Saya perlu menjadi simbol ketabahan kepada adik saya juga, demi masa depan kami berdua.
"Saya tahu perjalanan ini tidak mudah, tetapi saya perlu teruskan juga. Saya mahu berjaya bukan sahaja untuk diri sendiri, malah juga buat keluarga yang telah pergi dan adik saya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan UPSI, pada Selasa.
Kehilangan lima ahli keluarga bukanlah noktah kepada kehidupan bekas pelajar Kolej Matrikulasi Pahang dalam bidang perakaunan itu untuk terus melangkah demi menggenggam segulung ijazah dan berkhidmat dalam bidang pendidikan.
Dalam kejadian kira-kira 3.35 pagi pada 26 Februari lepas, lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di Raub, Pahang.
Mangsa yang terkorban ialah Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, iaitu Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14, dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10.
Bagaimanapun, Ruby Adalia Balqis dan seorang lagi adiknya, Ahmad Balia Murqam, 15, terselamat kerana masing-masing berada di asrama sekolah.
Dalam pada itu, seorang lagi pelajar baharu UPSI, Azhar Kolong, 22, turut melalui perjalanan hidup yang penuh cabaran sebelum berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.
Azhar yang berasal dari pedalaman Nabawan, Sabah kehilangan ibunya ketika berusia 12 tahun manakala bapanya meninggal dunia ketika beliau sedang mengikuti pengajian tingkatan enam.
Walaupun pernah berdepan masalah kesihatan, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya melangkah ke peringkat universiti.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin berkata, kisah kecekalan Ruby Adalia Balqis dan Azhar merupakan antara kisah perjuangan pelajar baharu yang mendapat perhatian pelbagai pihak.
Beliau berkata, kerajaan dan agensi berkaitan turut tampil menyalurkan bantuan bagi memastikan kebajikan serta pendidikan kedua-dua pelajar berkenaan terbela.
"Di sebalik suasana meriah pendaftaran mahasiswa baharu di kampus UPSI, tersirat pelbagai kisah perjuangan yang menyentuh hati. Mereka hadir bukan sekadar membawa beg dan buku, malah juga menyemat doa, kenangan, pengorbanan serta harapan insan tersayang yang telah pergi," katanya.
Beliau berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menyatakan komitmen untuk menyokong perjalanan Ruby Adalia Balqis untuk melanjutkan pengajian di UPSI.
Beliau berkata, perjuangan Ruby Adalia Balqis turut mencerminkan semangat ikhtiar ribuan mahasiswa baharu yang mendaftar di UPSI dengan membawa pelbagai pengalaman serta kisah kehidupan masing-masing. - Bernama