Scroll, semak, fikir! Pelajar Sijangkang belajar jadi bijak digital

- Advertisement / Iklan -
Program Masscomm UiTM dedah 39 pelajar Tingkatan Satu kepada komunikasi, kepimpinan, media sosial dan literasi AI

BERDEPAN lambakan maklumat, berita palsu dan kandungan dijana kecerdasan buatan (AI), pelajar sekolah perlu dibekalkan kemahiran untuk berkomunikasi dengan yakin, mengenali diri serta menilai maklumat secara kritis sejak di bangku sekolah.

Menyedari keperluan itu, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Projek Sekolah Angkat MADANI 2026 menganjurkan program The Architect of Influence: Communication and Leadership 5.0 yang disertai 39 pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, baru-baru ini.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri FKPM UiTM, Profesor Madya Dr Tengku Elena Tengku Mahamad berkata, program berkenaan menjadi platform untuk membawa ilmu dan kepakaran universiti kepada komuniti dalam bentuk yang dekat dengan kehidupan golongan muda.

“Bagi kami, pemindahan ilmu bukan sekadar berkongsi apa yang kita tahu, tetapi bagaimana ilmu itu boleh digunakan dan memberi manfaat kepada komuniti.

- Advertisement / Iklan -

“Tingkatan Satu adalah usia yang baik untuk kita mulakan kerana mereka baru beralih daripada sekolah rendah ke sekolah menengah, sedang membina keyakinan dan mengenali diri, dan pada masa yang sama semakin terdedah kepada dunia digital,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, program tersebut menggunakan modul Learning to Lead in the Digital World, iaitu modul komunikasi, kepimpinan dan literasi digital yang dibangunkan pasukan FKPM UiTM khusus untuk golongan muda.

"Seramai 10 pensyarah FKPM daripada pelbagai bidang kepakaran terlibat dalam pembangunan dan pelaksanaan modul berkenaan yang disampaikan menerusi lima stesen pembelajaran interaktif.

"Lima stesen itu memberi fokus kepada komunikasi dengan yakin, kepimpinan bermula daripada diri sendiri, mengenali diri, penggunaan media sosial secara bijak serta keupayaan menilai maklumat dan kandungan AI," katanya.

Tengku Elena berkata, menerusi aktiviti dan perbincangan berkumpulan, pelajar didedahkan kepada cara mengenal pasti berita palsu, tajuk umpan klik dan kandungan dijana AI, selain digalakkan supaya tidak terus mempercayai sesuatu maklumat yang ditemui dalam talian.

"Sebaliknya, mereka dibimbing untuk menyemak maklumat, mencari bukti dan membuat pertimbangan sebelum berkongsi atau menyebarkannya kepada orang lain.

"Selain literasi digital, program itu turut membina asas kepimpinan dalam diri pelajar menerusi kemahiran menyuarakan pandangan dengan yakin, memikul tanggungjawab serta mengenali kekuatan dan nilai diri.

"Aspek keselamatan digital turut diberi perhatian menerusi pendedahan mengenai risiko jejak digital dan perkongsian maklumat peribadi di media sosial," katanya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan pelajar mempunyai asas kukuh untuk berdepan dunia digital yang semakin kompleks.

“Matlamat kami adalah untuk memberi pendedahan dan membina kesedaran dari awal. Kita mahu mereka mempunyai asas untuk berkomunikasi dengan baik, mengenali diri, memimpin dan membuat pilihan dengan lebih bertanggungjawab, termasuk apabila berhadapan dengan media sosial, AI dan pelbagai maklumat dalam talian,” katanya.

Sementara itu, guru kelas Tingkatan Satu, Anizam Kandis menyambut baik pelaksanaan program berkenaan yang disifatkannya sebagai peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah.

“Kami sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan kepada pelajar. Program seperti ini tidak selalu dapat mereka sertai, jadi ia memberi mereka peluang untuk mendapat pendedahan dan mempelajari perkara baharu di luar apa yang biasa mereka pelajari di sekolah.

“Pelajar juga sangat seronok mengikuti program ini,” katanya.