UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) melakar sejarah menerusi UiTM Marching Band Competition (UMBC) 2026 apabila meraih dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
Kejohanan yang berlangsung dari 15 hingga 19 September 2026 itu dianjurkan UiTM Cawangan Perak dengan kerjasama Pusat Kesatria dan Kokurikulum (PKeKO), Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), UiTM, serta sokongan Unit Kesatria dan Kokurikulum (UKeKO) UiTM Cawangan di seluruh Malaysia.
Bertemakan “Melakar Sejarah, Menggema Patriotisme”, UMBC 2026 turut berlangsung bersempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2026, sekali gus mengetengahkan semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan mahasiswa.
Kemuncak kejohanan menyaksikan UiTM Cawangan Perak menerima dua pengiktirafan MBOR bagi kategori “Most Participants in a Marching Band Competition” dan “Most Marching Band Members in a Patriotic Song Performance (Negaraku)”.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi, berkata pencapaian itu bukan sekadar kejayaan penganjuran pertandingan, malah mencerminkan semangat patriotisme, perpaduan dan kecemerlangan mahasiswa.
“Penganjuran UMBC 2026 serta pencapaian dua pengiktirafan Malaysia Book of Records ini membuktikan keupayaan warga UiTM mengangkat seni persembahan pancaragam ke tahap yang lebih tinggi. Kejohanan ini menyatukan elemen disiplin, estetika muzik, kreativiti, kepimpinan dan semangat kebangsaan dalam sebuah platform yang berprestij,” katanya ketika Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah UMBC 2026, baru-baru ini.
Menurut beliau, penglibatan mahasiswa dalam bidang kesenian bukan sekadar aktiviti sampingan, sebaliknya menjadi platform pembangunan bakat dan sahsiah untuk membentuk mahasiswa berdaya tahan, berkeyakinan, berdisiplin serta mampu bekerja dalam pasukan.
Sepanjang penganjuran, peserta berentap dalam pelbagai kategori termasuk Percussion, Color Guard, Wind Ensemble, Drumline Battle serta kategori solo yang dinilai berdasarkan aspek teknikal, muzikaliti, ketepatan formasi, kreativiti, disiplin dan mutu persembahan keseluruhan.
Band of Spirit dari UiTM Shah Alam dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan UMBC 2026, hasil latihan berdisiplin dan komitmen berpasukan.
Pengarah PKeKO, Datuk Dr. Hasrol Jono, berkata kejayaan itu hasil sinergi antara UiTM Cawangan Perak, PKeKO, JHEP, urus setia, jurulatih, pegawai pengiring, panel juri, sukarelawan dan semua kontinjen.
“UMBC bukan sahaja menguji keupayaan muzikal, malah membentuk disiplin, ketahanan mental, kepimpinan serta semangat setiakawan dalam kalangan mahasiswa,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu turut menjadi pemangkin untuk memperluas pembangunan seni pancaragam UiTM secara lebih tersusun, termasuk aspek latihan, kepakaran jurulatih, kemudahan, peralatan dan kebajikan pelajar.
Penganjuran UMBC 2026 turut mendapat sokongan Rektor UiTM Cawangan Perak, Profesor Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim, manakala kejohanan itu dikoordinasikan Timbalan Rektor (HEP) UiTM Cawangan Perak, Profesor Madya Sr. Dr. Mohd Azian Zaidi, bersama jawatankuasa pelaksana.
Kejayaan itu mengukuhkan peranan UiTM dalam pembangunan mahasiswa secara holistik menerusi bidang kesenian, kebudayaan, kokurikulum dan kepimpinan, selain kecemerlangan akademik.