Makmal AI Tenaga UTP-FPT sokong agenda peralihan tenaga

- Advertisement / Iklan -
Foto FB Universiti Teknologi Petronas - Main Page

UNIVERSITI Teknologi PETRONAS (UTP) dan FPT Corporation (FPT) telah menubuhkan Makmal Korporat Kecerdasan Buatan (AI) Tenaga UTP-FPT, untuk membangunkan penyelesaian berdaya AI bagi menyokong peralihan tenaga, kecemerlangan operasi dan kemampanan merentasi rantaian nilai tenaga.

UTP dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa platform strategik industri-akademia itu, akan menghimpunkan para penyelidik, pengamal industri dan pakar teknologi, untuk menangani cabaran baharu dalam sektor tenaga dengan tumpuan pada penggunaan AI untuk meningkatkan prestasi operasi, mendayakan operasi rendah karbon dan menyokong peralihan ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan.

Penubuhan Makmal Korporat AI Tenaga itu telah dirasmikan semasa pembukaan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia (ESTCON) 2026, yang merupakan program perdana UTP di Pusat Konvensyen Penang Waterfront (PWCC) pada 8 dan 9 September, disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.

Menurut kenyataan itu, makmal tersebut akan berfungsi sebagai pemangkin untuk menterjemahkan penyelidikan termaju kepada aplikasi industri melalui AI, analitik data dan teknologi digital, selain menyediakan platform untuk membangunkan, menguji dan menentusahkan teknologi bersama dengan industri, bagi memperkukuh laluan daripada peringkat penyelidikan kepada penerimagunaan dan pengkomersialan.

- Advertisement / Iklan -

"Inisiatif ini disokong oleh perkongsian selama tujuh tahun antara UTP dan FPT yang telah berkembang daripada mobiliti pelajar, pertukaran akademik dan penyeliaan bersama kepada kerjasama yang lebih luas dalam penyelidikan, AI dan analitik data, pendidikan profesional, infrastruktur digital serta pendayaan teknologi.

"Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menjana nilai penyelidikan kolaboratif lebih RM10 juta, menyokong lebih 490 penyertaan mobiliti dan membolehkan 15 orang kakitangan FPT melanjutkan pengajian pada peringkat kedoktoran di UTP," menurut kenyataan itu.

- Advertisement / Iklan -

Presiden UTP Mohamed Firouz Asnan dalam kenyataan yang sama berkata penubuhan Makmal Korporat AI Tenaga itu, mencerminkan komitmen UTP untuk berada di barisan hadapan dalam penyelidikan teknologi yang memberikan nilai ketara kepada industri dan masyarakat.

"Di UTP, kami percaya inovasi yang bermakna berlaku apabila kecemerlangan penyelidikan, kepakaran industri dan bakat bersatu untuk menyelesaikan cabaran sebenar dunia.

"Memandangkan sektor tenaga sedang mengalami transformasi teknologi yang mendalam, Makmal Korporat AI Tenaga ini menyediakan platform untuk menterjemahkan penyelidikan termaju kepada penyelesaian yang boleh dilaksanakan untuk industri, di samping mewujudkan peluang baharu untuk inovasi, pengkomersialan dan pembangunan bakat," katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu akan menggabungkan kekuatan UTP dalam penyelidikan dan inovasi tenaga, dengan keupayaan FPT dalam AI dan teknologi digital untuk membangunkan penyelesaian yang dapat meningkatkan prestasi dan kemampanan sektor tenaga, sambil membina bakat serta keupayaan yang diperlukan untuk masa hadapan. UTP juga menyasarkan agar makmal ini dapat memberi sumbangan bermakna kepada peralihan tenaga di Malaysia dan di seluruh ASEAN.

Sementara itu, Naib Presiden FPT Software (FPT Corporation) dan Ketua Pegawai Eksekutif FPT Malaysia Tran Hong Chung berkata, kerjasama yang diperluas dengan UTP itu, bertujuan untuk melengkapkan industri dengan penyelesaian pintar dipacu AI serta tenaga kerja mahir yang mampu mengemudi tuntutan kompleks dalam peralihan tenaga mampan.

"FPT komited untuk menerajui transformasi berteraskan AI dan memupuk bakat khusus untuk pasaran ASEAN dan melangkauinya," katanya.

Makmal Korporat AI Tenaga ini akan memfokuskan kepada empat bidang strategik, iaitu Pusat Kecemerlangan Pendidikan; Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Bersama; Perundingan, Penasihatan dan Pengkomersialan Harta Intelek; serta Pendidikan Profesional.

Di bawah teras R&D Bersama, empat inisiatif awal telah dikenal pasti, iaitu simulator AI dinamik berteraskan fizik untuk sistem Reaktor Modular Kecil (SMR); Teras Digital dan penyelesaian bawah permukaan berdaya AI; pemiawaian, perakaunan dan pengesahan data karbon berasaskan AI untuk sektor tenaga; serta aplikasi Kampus Pintar yang memanfaatkan Kecerdasan Kampus Mampan yang didayakan AI.

Menurut kenyataan UTP, projek-projek tersebut bertujuan untuk memajukan penggunaan teknologi berdaya AI, selain menyampaikan penyelesaian praktikal untuk industri.

"Penubuhan Makmal Korporat AI Tenaga ini, menandakan satu peristiwa penting dalam perkongsian jangka panjang UTP-FPT dan mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan inovasi, mempercepatkan penerimagunaan teknologi dan membangunkan bakat yang bersedia untuk masa hadapan.

"Dengan menggabungkan kekuatan masing-masing yang saling melengkapi, UTP dan FPT menyasarkan untuk mencipta nilai yang berkekalan untuk industri dan masyarakat, sambil menyumbang ke arah masa hadapan tenaga yang lebih selamat, mampan serta diperkasakan secara digital," menurut kenyataan UTP. - Bernama