Lima lagi politeknik bakal tawar program ijazah

- Advertisement / Iklan -
Pelaksanaan itu akan menjadikan keseluruhan sembilan politeknik menawarkan program ijazah berbanding empat ketika ini.

LIMA lagi politeknik dikenal pasti bakal menawarkan program peringkat ijazah dalam tempoh terdekat sebagai sebahagian usaha kerajaan menaik taraf pendidikan politeknik negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pelaksanaan itu akan menjadikan keseluruhan sembilan politeknik menawarkan program ijazah berbanding empat ketika ini.

"Dari segi taraf politeknik yang sebelum ini mungkin hanya mengeluarkan mereka di peringkat sijil dan diploma, kerajaan sedang merangka supaya politeknik juga dapat mengeluarkan lulusan ijazah.

"Untuk peringkat ini, sebanyak empat politeknik sudah mempunyai program di peringkat ijazah dan kita mencadangkan lima lagi akan diwujudkan dalam tempoh terdekat," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Sabah, di Politeknik Kota Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, lima politeknik berkenaan sudah dikenal pasti, namun perinciannya akan diumumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik kelak.

- Advertisement / Iklan -

Empat institusi yang sudah menawarkan program ijazah ialah Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Sultan Azlan Shah.

Zambry berkata, usaha memperluas program ijazah itu selaras dengan keperluan negara terhadap lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.

"Bidang berkaitan, khususnya teknikal dan kejuruteraan, sangat diperlukan dalam negara.

"Jadi, pendekatan itu kita lakukan bagi memenuhi permintaan pasaran, bukan hanya dalam lingkungan universiti tetapi juga di peringkat politeknik," katanya.

Beliau berkata, kementerian turut merangka beberapa pendekatan untuk menaik taraf politeknik, termasuk memperkemas kurikulum dan mencadangkan pewujudan akta yang lebih mantap.

Katanya, perubahan berkenaan diperlukan bagi memastikan pendidikan politeknik kekal relevan dengan perkembangan semasa, termasuk kemunculan ilmu serta disiplin baharu.

"Kalau kita lihat kedudukan politeknik di banyak tempat di dunia seperti Jerman dan Jepun, politeknik berperanan sangat penting untuk melahirkan tenaga berkemahiran tinggi.

"Jadi, itulah yang sedang kita lakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry menjangkakan perancangan memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diberikan perhatian dalam Belanjawan akan datang, selaras dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035.

Katanya, usaha berkenaan turut diselaraskan bersama Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merangkumi universiti teknikal, politeknik dan kolej komuniti.