PELAJAR dan pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) bakal menikmati lebih banyak peluang meneroka pengalaman, kepakaran serta inovasi teknologi dari China menerusi kerjasama strategik bersama Guizhou Vocational College of Economics and Business (GVCEB).
Kerjasama itu dimeterai menerusi majlis menandatangani Letter of Intent (LOI) sempena 2026 Malaysia - Guizhou International Educational Exchange Programme yang berlangsung di GVCEB, Duyun, Guizhou, China pada 15 September lalu.
Ketua Delegasi Malaysia merangkap Pegawai Pengantarabangsaan POLIMAS, Dr Nui Din Keraf berkata, jaringan antarabangsa itu bukan sekadar membuka ruang kerjasama akademik, malah memberi peluang kepada warga institusi TVET memperluas pengetahuan dan kemahiran menerusi pendedahan kepada kepakaran serta teknologi baharu.
“Jaringan global ini bukan sekadar satu perkongsian akademik, malah membuka ruang yang lebih luas kepada pelajar dan pensyarah untuk menyerap kepakaran, pengetahuan serta inovasi teknologi baharu dari China.
“Ini merupakan platform yang amat bermakna dalam usaha melahirkan modal insan TVET yang berdaya saing di peringkat global,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Menerusi kerjasama berkenaan, kedua-dua institusi turut meneroka pertukaran pelajar, staf akademik dan pakar teknikal selain melaksanakan penyelidikan serta latihan bersama.
Kerjasama itu turut merangkumi perkongsian ilmu dan amalan terbaik pengajaran, pembangunan program akademik serta penambahbaikan kurikulum dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan, inovasi dan kepakaran teknikal.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Parti dan Presiden GVCEB, Zhang Jiajun menyambut baik kerjasama tersebut yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan pendidikan serta pertukaran budaya antara Malaysia dan Guizhou.
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan POLIMAS.
"Melalui program pertukaran ini, kita bukan sahaja membina rangkaian pendidikan yang mantap, tetapi turut menghubungkan budaya serta membuka peluang yang lebih luas demi masa depan generasi muda di Malaysia dan Guizhou,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.
Delegasi POLIMAS turut disertai Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam, Shahrul Che On; Ketua Program Diploma Seni Bina, Roshelmy Ramli; Pegawai Hal Ehwal Pelajar, Md. Hilmy Sulaiman serta barisan pensyarah dan pelajar.
Pemeteraian LOI itu selari dengan aspirasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam memperluas jaringan antarabangsa, sekali gus memperkukuh kualiti pendidikan TVET negara.
Kerjasama Malaysia-China berkenaan turut membuka ruang kepada POLIMAS memperluas pengalaman global warga kampus, khususnya dalam membina kompetensi dan daya saing graduan TVET untuk memenuhi keperluan dunia pekerjaan yang semakin berkembang.