DUNIA pekerjaan bergerak pantas seiring perkembangan teknologi. Justeru, hubungan antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan industri perlu terus diperkukuh bagi memastikan kemahiran yang dipelajari mahasiswa kekal relevan dengan keperluan sebenar pasaran kerja.
Perkara itu menjadi antara fokus POLYCC Industry Education Centre (IEC) 2026 yang berlangsung di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS), pada Khamis.
Pengarah POLIMAS, Wan Zulkifly Wan Zakaria berkata, penganjuran program itu bukan sekadar pertemuan antara institusi dan industri, sebaliknya menjadi ruang memperkukuh ekosistem TVET yang lebih dinamik, khususnya selepas POLIMAS diiktiraf sebagai Politeknik Premier.
“Sebagai tuan rumah, kami di POLIMAS melihat penganjuran POLYCC IEC 2026 ini bukan sekadar satu majlis pertemuan, tetapi merupakan satu lonjakan penting dalam membina ekosistem TVET yang dinamik. Kebersamaan antara institusi dan rakan industri pada hari ini adalah kunci utama untuk menterjemahkan inovasi kepada impak ekonomi yang nyata,” katanya.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ulaimi Yahya yang hadir mewakili Ketua Pengarah JPPKK.
Beliau berkata, hubungan POLYCC dengan pemain industri tidak lagi boleh bersifat konvensional, sebaliknya perlu bergerak seiring kepesatan teknologi bagi melahirkan modal insan digital yang future-proof.
“Sinergi antara POLYCC dan pemain industri tidak boleh lagi bersifat konvensional. Kita perlu bergerak seiring dengan kepesatan teknologi industri moden,” katanya.
Sementara itu, Ulaimi turut menyifatkan pengiktirafan terhadap pusat kecemerlangan Centre of Technology (COT) sebagai bukti usaha merapatkan jurang antara teori akademik dengan keperluan praktikal di tempat kerja.
Kemuncak program menyaksikan penganugerahan penarafan satu, dua dan tiga bintang kepada COT politeknik seluruh Malaysia berdasarkan pencapaian serta sumbangan sepanjang 2025.
Bagi Best Overall 3 Star Rating, Centre of Technology Marine Engineering, Politeknik Ungku Omar, Perak menerima Award Diamond; Centre for Medical Electronic Technology, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) menerima Award Sapphire; manakala Polytechnic Centre of Automotive and Manufacturing, Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) menerima Award Emerald.
Sebagai tuan rumah, POLIMAS turut mencatat kejayaan apabila Centre of Technology Town and Regional Planning (CToP) menerima Anugerah Pengurus Terbaik COT 2 Star Rating menerusi Azzatunisa Ahmad ZubIr, selain dinobatkan sebagai Pempamer Terbaik, manakala Centre for Mechanical Engineering Plastic (CMeP) pula menerima Penarafan 2 Star Rating.