'Adab dahulu', pesanan NC buat mahasiswa baharu UPSI

- Advertisement / Iklan -
Md Amin (kiri) mengaminkan bacaan doa bersama pelajar baharu ijazah sarjana muda semasa majlis ikrar yang berlangsung Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah,Proton City.
4,455 mahasiswa baharu diseru bina sahsiah, jati diri dan kepimpinan seiring kecemerlangan akademik

MEMASUKI universiti bukan sekadar tentang mengejar keputusan peperiksaan atau menggenggam segulung ijazah. Lebih daripada itu, kehidupan sebagai mahasiswa adalah ruang untuk membentuk diri, mengenal potensi dan belajar menjadi insan yang lebih baik.

Itulah antara pesanan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md Taff kepada 4,455 mahasiswa baharu ambilan September 2026 yang melafazkan ikrar sebagai warga universiti dalam Majlis Ikrar Pelajar Baharu di Dewan Tuanku Canselor, UPSI, pada Khamis.

Menurut beliau, kecemerlangan akademik perlu bergerak seiring dengan pembentukan adab, akhlak dan keperibadian berteraskan semangat ‘Jiwa UPSI’.

“Saya ingin berpesan jadikan adab sebagai asas dalam menuntut ilmu. Hormati pensyarah, hargai rakan, patuhi peraturan dan sentiasa menjaga nama baik universiti,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, kejayaan melangkah ke UPSI menjadi antara detik penting dalam perjalanan akademik mahasiswa baharu yang bakal melalui fasa menimba ilmu serta membina sahsiah sebagai mahasiswa dan bakal pemimpin masa hadapan.

Katanya, ilmu yang tinggi tanpa nilai dan akhlak yang baik tidak akan melahirkan insan yang benar-benar berkualiti dan berketrampilan.

- Advertisement / Iklan -

“UPSI mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi mempunyai jati diri, berdaya saing, berintegriti dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat serta negara,” katanya.

Bagi Prof Md Amin, kehidupan di universiti juga perlu dimanfaatkan untuk mengembangkan pelbagai kebolehan, termasuk kepimpinan, komunikasi, kreativiti dan kemahiran insaniah.

"Justeru, mahasiswa baharu digalakkan supaya tidak mengehadkan impian mereka hanya kepada pencapaian di peringkat universiti atau nasional.

"Sebaliknya, mereka perlu berani memasang impian untuk melangkah lebih jauh dengan memanfaatkan peluang, kemudahan, pengalaman serta jaringan antarabangsa yang disediakan UPSI.

“Jangan takut untuk bermimpi besar. Tanam impian untuk menjadi insan yang mampu berdiri di pentas dunia. Mulakan langkah itu dari UPSI,” katanya.

Md. Amin berkata, dalam dunia pendidikan dan pekerjaan yang semakin berubah, mahasiswa diingatkan supaya bersedia menghadapi cabaran dengan menguasai teknologi, berfikiran kritis serta mempunyai kebolehan berkomunikasi dan bekerjasama dalam persekitaran global.

"Atas sebab itu, tempoh pengajian tidak seharusnya dihabiskan hanya di bilik kuliah. Mahasiswa digalakkan melibatkan diri dalam persatuan, aktiviti kesukarelawanan, kepimpinan, sukan, kebudayaan serta pelbagai program pembangunan mahasiswa bagi membina pengalaman dan keyakinan diri.

“Jangan hanya menjadi pelajar yang datang ke kuliah dan pulang ke kolej. Jadilah mahasiswa yang aktif, berani mencuba, berani memimpin dan berani mencipta sesuatu yang memberikan manfaat kepada orang lain,” katanya.

Tambahnya, kejayaan mahasiswa UPSI yang sebelum ini melakar pencapaian hingga ke peringkat dunia pula diharap dapat menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus mencabar kemampuan diri.

Dalam masa sama, Md Amin memberi jaminan bahawa kebajikan mahasiswa yang memerlukan perhatian turut akan diberi keutamaan, termasuk anak-anak yatim piatu yang terpilih menjadi warga UPSI.

“Kepada mahasiswa anak-anak yatim piatu yang kini terpilih menjadi warga UPSI, akan kami pastikan kebajikan dan ehwal urusan kalian terpelihara sehabis baik,” katanya.

Majlis Ikrar Pelajar Baharu Ambilan September 2026 itu diketuai pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik, Muhammad Syaiful Amir Che Said.

Menerusi ikrar tersebut, mahasiswa baharu bertekad mematuhi peraturan universiti, menjaga nama baik UPSI, menghormati warga kampus serta melaksanakan tanggungjawab sebagai mahasiswa dengan penuh integriti.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, selain barisan dekan dan pengetua kolej kediaman.