6,171 wajah baharu warnai kampus UMS

- Advertisement / Iklan -
Pelajar prasiswazah sesi 2026/2027 mula melangkah ke alam universiti di Kota Kinabalu, Labuan dan Sandakan

SUASANA di Universiti Malaysia Sabah (UMS) kembali meriah apabila 6,171 pelajar baharu mula mendaftar bagi kemasukan program prasiswazah sesi 2026/2027.

Pendaftaran yang berlangsung selama dua hari bermula 12 hingga 13 September itu menyaksikan pelajar baharu bersama keluarga hadir ke kampus masing-masing sebelum memulakan fasa baharu sebagai mahasiswa.

Daripada jumlah itu, 5,251 pelajar tempatan mendaftar di UMS Kampus Kota Kinabalu, manakala 698 pelajar di UMS Kampus Antarabangsa Labuan dan 222 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.

Menurut kenyataan UMS, pelajar tempatan berkenaan terdiri daripada 4,325 dari Sabah, 1,021 dari Semenanjung Malaysia, 529 dari Sarawak dan 81 dari Wilayah Persekutuan Labuan.

- Advertisement / Iklan -

Turut menjadi sebahagian daripada keluarga baharu UMS ialah 215 pelajar antarabangsa dari 12 negara, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Sweden, Arab Saudi, Yemen, Bangladesh, Pakistan, India, Indonesia, Filipina dan Timor-Leste.

- Advertisement / Iklan -

Menariknya, kemasukan sesi kali ini turut memberi ruang kepada pelajar daripada pelbagai latar menerusi laluan khas UMS.

Daripada jumlah keseluruhan, seramai 3,380 pelajar B40 menerima tawaran melalui UPUOnline, selain 14 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), lapan Orang Asli dan 15 atlet sukan.

Selepas selesai urusan pendaftaran, mahasiswa baharu akan meneruskan langkah seterusnya menerusi Minggu Suai Mesra (MSM) selama seminggu bermula 14 September.

Program berkenaan menjadi antara ruang awal untuk pelajar mengenali persekitaran kampus, menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti serta membina kenalan baharu sebelum memulakan rutin sebagai mahasiswa.

Suasana hari pendaftaran di setiap kolej kediaman juga berlangsung dalam keadaan baik dan teratur.

Penambahbaikan terhadap jadual pendaftaran mengikut masa tertentu dilaksanakan bagi membantu mengurangkan kesesakan, terutama ketika pelajar dan keluarga mula tiba di kampus.

Dalam masa sama, para pelajar turut dibantu sukarelawan Pembimbing Suai Mesra (PSM) yang bertugas sepanjang tempoh pendaftaran bagi memastikan urusan mereka berjalan lancar.

Turut turun padang meninjau dan menyantuni pelajar baharu serta keluarga ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Datuk Dr. Rossita Shapawi; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Raman Noordin; Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin dan Penasihat Undang-Undang UMS, Awang Suhaizam Bungso.

Dengan kehadiran ribuan wajah baharu dari pelbagai negeri dan negara, kampus UMS kini kembali dipenuhi cerita, impian dan langkah pertama mahasiswa yang bakal mewarnai kehidupan universiti bagi sesi 2026/2027.