FENOMENA perubahan iklim yang semakin ketara serta kejadian cuaca ekstrem dan bencana alam yang melanda pelbagai kawasan di Malaysia menjadi peringatan bahawa isu kelestarian bukan lagi sekadar agenda global, sebaliknya cabaran yang perlu ditangani secara bersama.
Banjir, hujan lebat luar biasa, tanah runtuh, gelombang haba dan perubahan corak cuaca bukan sahaja memberi kesan terhadap alam sekitar, malah turut menjejaskan kehidupan masyarakat, ekonomi, kesihatan serta kesejahteraan generasi akan datang.
Dalam mendepani cabaran itu, mahasiswa dilihat mempunyai peranan penting sebagai kelompok intelektual dan pemimpin masa hadapan yang mampu mencetuskan perubahan melalui pengetahuan, inovasi serta gerakan kesukarelawanan.
Peranan berkenaan terus diperkasakan menerusi Forum SDG: Empowering University Students for a Sustainable Future yang berlangsung di Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia, baru-baru ini.
Forum itu merupakan hasil kerjasama Kelab Prime Mover UiTM, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban dan Badan Eksekutif Mahasiswa Keluarga Mahasiswa (BEM KM) Universitas Negeri Padang.
Penganjuran forum merupakan antara pengisian utama di bawah Global Volunteer Mission to West Sumatra-Riau, Indonesia, yang bertujuan membimbing mahasiswa menjadi pemangkin transformasi dalam menangani isu pembangunan mampan, selain memperkukuh jaringan akademik, kepimpinan dan kesukarelawanan antara Malaysia dan Indonesia.
Forum memberi tumpuan kepada beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu SDG 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 5: Kesaksamaan Gender, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.
Penglibatan mahasiswa daripada kedua-dua negara membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, idea dan pendekatan dalam menangani cabaran global yang semakin kompleks, selain memperlihatkan mahasiswa bukan sekadar penerima ilmu, tetapi turut berperanan sebagai agen perubahan, pencetus inovasi dan pemimpin komuniti dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan.
Perbincangan berkaitan SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim turut memberi perhatian kepada perkembangan pesat teknologi moden, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pertumbuhan pusat data (data centres) yang memerlukan penggunaan tenaga elektrik pada kadar tinggi.
Perkembangan teknologi digital membawa pelbagai manfaat kepada kehidupan manusia, namun pada masa sama menimbulkan persoalan terhadap kelestarian tenaga dan alam sekitar. Pemprosesan data secara besar-besaran memerlukan kapasiti tenaga tinggi dan berpotensi menyumbang kepada peningkatan pelepasan karbon sekiranya tidak diseimbangkan dengan penggunaan sumber tenaga lebih bersih dan mampan.
Dalam konteks Malaysia, isu itu semakin penting apabila negara berhadapan kesan perubahan iklim yang dapat dilihat melalui peningkatan risiko cuaca ekstrem dan bencana berkaitan iklim, sekali gus menuntut pendekatan yang mengimbangi kemajuan teknologi, pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Forum turut mengetengahkan pelbagai inisiatif strategik Kerajaan Malaysia dalam mengurangkan jejak karbon negara, termasuk pelaksanaan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0), usaha memperkenalkan mekanisme cukai karbon (Carbon Tax) serta komitmen melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap – NETR) dalam memperkukuh penggunaan tenaga boleh baharu.
Usaha menangani perubahan iklim turut ditekankan sebagai tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan kerajaan, universiti, industri, komuniti dan khususnya mahasiswa sebagai generasi yang bakal mewarisi masa depan dunia.
Presiden Kelab Prime Mover UiTM yang juga Pengarah Program Global Volunteer Mission 4.0, Muhammad Irfan Haziq Abdul Razak berkata, penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan antarabangsa penting dalam membentuk generasi yang mempunyai pemikiran global serta keupayaan memahami cabaran masyarakat merentasi sempadan.
“Penglibatan mahasiswa dalam program kesukarelawanan antarabangsa bukan sahaja membuka mata mereka terhadap realiti cabaran global, malah mendidik mahasiswa untuk lebih proaktif dalam mencari penyelesaian yang mampan bagi komuniti serantau,” katanya.
Sewaktu forum berlangsung, wakil Badan Eksekutif Mahasiswa Keluarga Mahasiswa (BEM KM) Universitas Negeri Padang turut memperkenalkan organisasi serta peranan mereka dalam menggerakkan aktiviti mahasiswa.
Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban pula berkongsi objektif penubuhan kelab serta pelbagai inisiatif kesukarelawanan yang telah dilaksanakan di peringkat universiti, komuniti dan antarabangsa.
Perkongsian dua hala itu membuka ruang kepada kedua-dua pihak menggembleng kepakaran dan tenaga dalam menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap isu masyarakat serta agenda pembangunan mampan pada masa hadapan.
Selain forum ilmiah, program turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, sesi pengenalan budaya serta makanan tempatan sebagai wadah mahasiswa Malaysia dan Indonesia saling mengenali serta menghargai kepelbagaian budaya serantau.
Majlis penutup turut menyaksikan penyampaian cenderahati sebagai simbol penghargaan terhadap kerjasama erat antara Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban dan Badan Eksekutif Mahasiswa Keluarga Mahasiswa Universitas Negeri Padang.
Aktiviti kebudayaan yang dilaksanakan turut memperkukuh hubungan persahabatan antara mahasiswa kedua-dua negara, selain membuktikan kesukarelawanan dan pembangunan mampan mampu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat tanpa mengira perbezaan bahasa, budaya dan sempadan negara.
Pengurus Program Forum SDG, Muhammad Raif Kamarul Anwar, berkata kolaborasi antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia merupakan langkah penting dalam membentuk generasi muda yang mampu berfikir dan bertindak melangkaui batas geografi.
“Kerjasama antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Indonesia membuktikan bahawa perbezaan sempadan bukanlah penghalang untuk kita bersama-sama menggembleng tenaga ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, Forum SDG: Empowering University Students for a Sustainable Future menjadi platform dalam memperkukuh jaringan antarabangsa antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam usaha merealisasikan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Program itu turut menjadi medan untuk mahasiswa berkongsi perspektif, membina jaringan, memahami cabaran global dan meneroka penyelesaian secara bersama, melibatkan isu perubahan iklim, bencana alam, kelestarian tenaga dan perkembangan teknologi yang merentasi sempadan negara.
Melalui kolaborasi rentas negara seperti itu, Malaysia dan Indonesia dapat memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi serta melahirkan generasi muda yang bersedia menerajui penyelesaian terhadap cabaran global dan mencipta impak kepada masyarakat serta alam sekitar.