DARI Pos Yum dan Bawong, perjalanan menuju kampus mungkin kelihatan jauh, tetapi impian untuk bergelar mahasiswa tidak pernah mengenal sempadan.
Program Kembara Bersasar 2026 menjadi ruang untuk anak-anak Orang Asli mengenali lebih dekat peluang pendidikan tinggi yang tersedia buat mereka.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, pendekatan turun padang itu penting bagi memastikan anak-anak Orang Asli tidak terpinggir daripada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Walau di mana jua anak-anak kita berada, sama ada di pusat bandar mahupun di pedalaman, akses dan ruang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sentiasa terbuka luas,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kembara Bersasar Orang Asli 2026/2027 (Mai Hik ke Menara Gading) di Dewan Pandak Hamid, Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong, pada Rabu.
Perak menjadi lokasi keempat dalam siri jelajah Program Kembara Bersasar 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).
Program kali ini memberi tumpuan kepada masyarakat Orang Asli dengan pengisian yang bukan sahaja berkaitan pendidikan tinggi, malah merangkumi pembangunan kemahiran, TVET, kebajikan dan khidmat kemasyarakatan.
Pelaksanaan di Pos Yum dan OAOSC Bawong turut membuka ruang kepada pelajar serta komuniti mendapatkan maklumat pendidikan secara terus, tanpa perlu bergantung kepada jarak dan lokasi.
Antara pengisian yang disediakan termasuk bimbingan permohonan UPUOnline, pengiraan merit, penentuan hala tuju pengajian serta khidmat Counselor on Wheels bagi membantu pelajar mengenal pasti bidang yang bersesuaian dengan potensi masing-masing.
Pendedahan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kursus pendek keusahawanan serta pengajian profesional turut diberi penekanan bagi membuka lebih banyak pilihan kepada anak-anak Orang Asli dalam menentukan laluan pendidikan dan kerjaya.
“Pendidikan adalah kunci utama yang akan mengubah taraf hidup keluarga dan memajukan komuniti kita,” ujar Khairudin.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Profesor Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata, pendekatan program di Perak dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh bagi memastikan komuniti Orang Asli mendapat manfaat daripada pelbagai pengisian yang disediakan.
Menurutnya, program selama dua hari itu turut mengetengahkan aktiviti yang lebih dekat dengan kehidupan komuniti, antaranya kursus pendek praktikal seperti manicure dan penternakan madu kelulut, selain pameran akademik serta aktiviti praktikal berasaskan TVET.
"Aktiviti komuniti pula merangkumi sukan mini dan sukaneka kanak-kanak Orang Asli, pertandingan mewarna, demonstrasi kraftangan tradisional serta perlawanan persahabatan sepak takraw antara anak tempatan dan warga UPSI.
“Aktiviti komuniti turut merangkumi sukan mini dan sukaneka kanak-kanak Orang Asli, pertandingan mewarna, demonstrasi kraftangan tradisional serta perlawanan persahabatan sepak takraw antara anak tempatan dan warga UPSI,” katanya.
Lebih bermakna, program itu turut menyaksikan penyampaian secara simbolik surat tawaran pengajian Diploma Perguruan di UPSI kepada 25 Orang Asli yang terpilih.
Ia menjadi antara gambaran jelas bahawa peluang pendidikan tinggi boleh sampai lebih dekat kepada komuniti, termasuk mereka yang tinggal jauh dari pusat bandar.
Bagi Kembara Bersasar 2026, perjalanan itu bukan sekadar membawa maklumat ke pedalaman, tetapi turut membuka mata komuniti bahawa laluan ke menara gading hadir dalam pelbagai bentuk dan bidang.