BARU sahaja menjuarai pertandingan pidato di Shah Alam, Selangor pada 12 September, Raja Nur Shazatul Aishah Raja Idris Shah meneruskan momentum cemerlang apabila dinobatkan juara keseluruhan Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2026, pada Selasa.
Bukan sahaja terpaksa bergegas ke Melaka dan mempunyai waktu yang singkat untuk menghafal skrip, penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP) berusia 26 tahun itu membuktikan kekangan itu juga tidak menghalangnya meraih kejayaan berganda apabila turut memenangi kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada pertandingan tersebut.
Beliau yang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM4,000, sijil dan piala pusingan berkata persediaan untuk pertandingan itu hanya mengambil masa kira-kira seminggu selepas mengetahui dirinya layak ke peringkat separuh akhir dan seterusnya final.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, beliau pada awalnya tidak meletakkan harapan tinggi untuk muncul juara kerana tempoh persiapan yang begitu singkat, sebaliknya hanya mahu memberikan persembahan terbaik.
Beliau yang sedang mengikuti pengajian PhD secara laluan pantas dalam bidang pengurusan di UTP berkata selain perlu membahagikan masa antara dua pertandingan pidato, cabaran terbesar adalah memastikan kesediaan mental dan fizikal berada pada tahap terbaik.
"Persediaan mental, emosi dan fizikal adalah cabaran terbesar buat saya selain perlu membahagikan masa antara dua pertandingan pidato," katanya.
Beliau berkata, minat dalam arena pidato bermula sejak di bangku tadika, sebelum terus digilap menerusi pelbagai pertandingan ketika di sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
Raja Nur Shazatul Aishah berkata, cabaran di pertandingan Pidato Rukun Negara terletak pada keperluan menghasilkan kandungan yang berbeza berbanding peserta lain, terutama selepas pertandingan berkenaan memasuki tahun keenam penganjurannya.
Beliau berkata, perkara itu menuntutnya meneliti fakta baharu khususnya berkaitan isu global dan semasa sebelum mengaitkannya dengan prinsip Rukun Negara.
"Paling utama, apa kelainan yang luar biasa kita nak bawa? Saya rasa itulah penyebabnya untuk juara keseluruhan. Fakta terkini juga adalah antara cabaran apabila kita perlu meneliti kesahihan, mengesahkan dahulu maklumat atau fakta, samada daripada sumber yang betul dan tepat," katanya.
Menyentuh harapannya selepas bergelar juara keseluruhan, beliau mahu memanfaatkan kemenangan itu untuk menyemarakkan semangat golongan belia agar terus menghayati dan mempertahankan prinsip Rukun Negara.
"Saya harap belia pada hari ini dapat bersama-sama untuk kita sampai bila-bila pun, ke titisan darah akhir kita, kita akan terus memegang prinsip Rukun Negara sebab inilah rahsia terbesar Malaysia.
"Inilah manuskrip penyembuh kita, kontrak psikologi demi kelangsungan bangsa Malaysia sendiri. Jangan pernah lupa lima prinsip ini, sama-sama pegang erat dan berjanji bahawa kita akan teguh dengan lima prinsip Rukun Negara," katanya. - Bernama