Pengorbanan nenek bakar semangat Nurul Atiqah jejak menara gading

- Advertisement / Iklan -
Foto FB Universiti Sains Malaysia

PENGORBANAN nenek yang bersusah payah membesarkannya menjadi pembakar semangat buat Nurul Atiqah Husna Azli untuk melanjutkan pengajian ke menara gading demi merealisasikan impiannya bergelar guru.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata neneknya, Noriah Muhammad Zain, 66, sanggup bekerja sebagai tukang sapu bagi memastikannya mendapat pendidikan sempurna, terutama selepas datuknya, Abd Ghani Musa, 70, tidak lagi bekerja susulan terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2007.

"Nenek bekerja sebagai tukang sapu di sekolah rendah tempat saya belajar dahulu. Hasil daripada kerja itu, nenek membesarkan saya dengan harapan saya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya ketika ditemui pada sesi pendaftaran pelajar baharu Program Ijazah Sarjana Muda Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Sidang Akademik 2026/2027, pada Isnin.

Nurul Atiqah Husna, 20, berjaya melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) di USM, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

- Advertisement / Iklan -

Bagaimanapun, Nurul Atiqah Husna berdepan kekangan kewangan selepas neneknya berhenti bekerja baru-baru ini termasuk tidak mampu menyediakan komputer riba untuk kegunaan pengajian.

Keadaan itu mengundang simpati orang ramai apabila beberapa pihak tampil menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluannya itu, selain dia turut mengambil inisiatif bekerja sambilan sebagai hos siaran langsung dari April hingga Ogos lepas untuk menampung perbelanjaan di USM.

- Advertisement / Iklan -

Dalam pada itu, Noriah berkata, dia terharu melihat cucunya berjaya melangkah ke menara gading dan berharap Nurul Atiqah Husna terus berjaya dalam pengajian.

Foto FB Universiti Sains Malaysia

Sementara itu, Naib Canselor USM Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata universiti itu menerima 5,804 pelajar baharu bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa dan diploma menerusi semua saluran kemasukan bagi Sidang Akademik 2026/2027.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 3,913 pelajar ditempatkan di Kampus Induk, 1,201 di Kampus Kejuruteraan dan 690 di Kampus Kesihatan, manakala 4,904 calon daripada 37,171 permohonan menerusi sistem Unit Pusat Universiti (UPU) berjaya ditawarkan tempat untuk mengikuti 79 program pengajian.

Abdul Rahman berkata, 2,241 calon atau 46 peratus daripada keseluruhan pelajar yang ditawarkan menerusi saluran UPU ialah kategori B40, selain 216 pelajar menerima tawaran menerusi Program Pembangunan Siswa Sulung melibatkan kos RM2.16 juta.

Beliau berkata, USM turut menawarkan tempat kepada 999 calon antarabangsa dari 37 negara, 17 pelajar orang kurang upaya (OKU), lapan pelajar Orang Asli serta 16 atlet negeri dan negara pada sidang akademik kali ini. - Bernama