KREATIVITI bukan sekadar menghasilkan karya yang menarik, malah boleh menjadi medium menyampaikan mesej tentang kesihatan, kesejahteraan dan kelestarian kepada masyarakat.
Itulah yang diketengahkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Pengiklanan, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) menerusi Creative Nexus: Showcase & Festival 2026.
Pameran anjuran Jabatan Pengiklanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FAS), UTAR dengan kerjasama AEON Mall Kinta City itu menghimpunkan hasil karya pelajar daripada pelbagai peringkat pengajian.
Lebih daripada sekadar mempamerkan hasil tugasan, karya yang diketengahkan memperlihatkan perkembangan kemahiran pelajar dalam pemikiran kreatif dan strategik, kemahiran teknikal, komunikasi, pengurusan projek serta penghasilan idea pengiklanan yang dekat dengan isu dan keperluan semasa.
Pelbagai isu berkaitan kesihatan, kesejahteraan dan kelestarian turut diangkat menerusi karya yang dipamerkan, menunjukkan bagaimana kreativiti dan komunikasi visual boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu sosial dan penjagaan kesihatan.
Ketua Jabatan Pengiklanan UTAR, Dr. Nur Afni Halil berkata, Creative Nexus bukan sekadar pameran hasil karya pelajar, sebaliknya menjadi ruang untuk mereka menyampaikan idea, membina keyakinan dan mendapatkan pendedahan kepada suasana profesional.
“Pameran ini melangkaui konsep pameran tradisional kerana ia menjadi platform kepada pelajar untuk menyampaikan idea-idea yang bermakna, memperoleh pendedahan profesional dan berinteraksi dengan komuniti melalui ekspresi kreatif,” katanya.
Beliau berkata, penekanan terhadap aspek kesihatan dan kesejahteraan turut memberi peluang kepada pelajar menggunakan kreativiti sebagai medium untuk menyampaikan mesej yang mampu mencetuskan kesedaran serta perubahan positif dalam masyarakat.
"Dalam usaha menghubungkan pembelajaran akademik dengan dunia industri, Creative Nexus 2026 turut membabitkan beberapa syarikat tempatan sebagai rakan kolaborasi dan klien industri bagi projek tahun akhir pelajar.
"Kerjasama itu memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dalam bilik kuliah menerusi situasi sebenar, termasuk menghasilkan idea dan produk kreatif berdasarkan keperluan serta kehendak klien," katanya.
Nur Afni berkata, pengalaman tersebut membantu pelajar memahami proses menghasilkan kempen dan bahan pengiklanan secara lebih profesional, selain mengasah kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan pengurusan projek.
"Pada masa sama, kehadiran orang awam, komuniti setempat, keluarga dan pelajar membuka ruang kepada peserta berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.
"Peluang itu dimanfaatkan pelajar untuk menerangkan idea, konsep dan mesej di sebalik hasil karya mereka, sekali gus mendapatkan pengalaman berkomunikasi dengan khalayak di luar persekitaran kampus," katanya.
Selain pameran karya, Creative Nexus 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif untuk pengunjung, menjadikan acara itu lebih santai dan terbuka kepada komuniti.
Menurut Nur Afni, pengalaman sebegini penting supaya pelajar melihat kreativiti dalam konteks yang lebih luas.
Katanya, kreativiti bukan sekadar menghasilkan sesuatu yang cantik untuk dipandang, tetapi boleh menjadi medium menyampaikan idea, membuka ruang perbincangan dan memberi manfaat kepada masyarakat.