GOLONGAN muda termasuk mahasiswa perlu bijak menilai maklumat di media sosial supaya tidak terperdaya dengan pihak ketiga sehingga terjebak menjadi keldai dadah atau keldai akaun.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tarikan imbuhan yang ditawarkan boleh menyebabkan golongan itu terpengaruh untuk terlibat dalam kegiatan itu.
"Jangan jadi keldai dadah dan keldai akaun yang kerap melibatkan generasi muda, bukan sahaja penuntut universiti tetapi juga golongan muda lain," katanya.
Noor Hisam berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS ke-22 Tahun 2026 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pada Isnin.
Hadir sama Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Dr Arham Abdullah dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Beliau menasihatkan mahasiswa supaya mendapatkan maklumat tepat daripada polis jika berhadapan sebarang kemusykilan selain juga boleh mendapatkan pandangan pensyarah sebelum membuat keputusan.
"Jangan mudah terperdaya dengan propaganda atau publisiti oleh pihak ketiga ini. Dapatkan nasihat sebelum keadaan menjadi lebih berbahaya atau lebih mudah pergi ke balai polis terdekat untuk maklumat lebih tepat," katanya.
Selain itu, Noor Hisam berkata, mahasiswa perlu menjaga masa depan dengan tidak terlibat dalam perkara negatif terutama berkaitan dadah dan perlu lebih bijak dalam menilai apa yang ditunjukkan kerana pihak sindiket mahir mempengaruhi dalam mencari mangsa.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, lepasan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) mempunyai kelebihan untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana telah mempunyai asas disiplin dan kepolisan menerusi latihan selama tiga tahun.
Beliau berkata, mereka telah menjalani latihan selama enam semester dengan jumlah kira-kira 672 jam kredit meliputi aspek kawad, pengendalian senjata, disiplin serta asas kerja kepolisan, menjadikan latihan di pusat latihan PDRM lebih mudah jika memilih untuk meneruskan kerjaya dalam pasukan itu.
Noor Hisam berkata, lepasan Kor SUKSIS yang berminat menyertai PDRM amat dialu-alukan, malah diberikan sedikit merit atau keistimewaan berbanding pemohon orang awam.
"Bagaimanapun, mereka (lepasan Kor SUKSIS) masih tertakluk kepada syarat umum pengambilan yang ditetapkan PDRM termasuk aspek ketinggian, berat badan dan indeks jisim badan (BMI)," katanya.
Beliau berkata, tidak semua 21,902 alumni Kor SUKSIS dari 2002 memilih kerjaya dalam PDRM kerana mereka mempunyai latar belakang bidang pengajian dan perancangan kerjaya berbeza.
Noor Hisam berkata, daripada jumlah alumni itu, sebanyak 1,248 atau 5.7 peratus telah menyertai PDRM menerusi pelbagai pangkat termasuk Inspektor, Koperal, Kadet Sarjan dan Konstabel.
Pada tahun ini, UMK Bachok menjadi tuan rumah sesi ke-22 Kor SUKSIS melibatkan 1,055 pelatih daripada 19 institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara. - Bernama