UPM lancar pelan strategik, dekatkan manfaat ilmu kepada masyarakat

- Advertisement / Iklan -
Pelan strategik itu memperkukuh komitmen UPM memanfaatkan ilmu, kepakaran demi kesejahteraan masyarakat

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) melancarkan Pelan Strategik UPM (PSUPM) 2026–2030 dengan meletakkan impak nyata dan manfaat langsung kepada masyarakat sebagai ukuran utama keberkesanannya, merangkumi sumbangan pendidikan, penyelidikan dan kepakaran universiti kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.

Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pelan lima tahun itu meletakkan tanggungjawab universiti dalam membantu menangani keperluan negara sebagai asas perancangan, dengan kejayaan pelaksanaannya perlu diterjemahkan kepada perubahan yang bermakna dalam kehidupan masyarakat.

“PSUPM 2026–2030 bukan sekadar dokumen strategik, tetapi janji UPM kepada negara.

“Kita tidak mahu sekadar cemerlang di atas kertas. Ilmu, kepakaran dan bakat UPM mesti diterjemahkan kepada penyelesaian, nilai dan impak yang nyata kepada rakyat,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Menurut beliau, kejayaan UPM bukan hanya diukur melalui kedudukan dalam penarafan universiti dan penerbitan, tetapi juga sejauh mana ilmunya mampu menyelesaikan masalah sebenar, mengubah kehidupan serta membina masa depan negara.

Beliau menyifatkan tanggungjawab itu sebagai amanah yang perlu diterjemahkan melalui penyelidikan yang sampai kepada pengguna serta pendidikan yang melahirkan graduan yang memahami keperluan masyarakat dan bersedia menyumbang.

- Advertisement / Iklan -

Jailani

“Melalui pelan ini, kita mahu hubungan antara universiti dengan masyarakat diterjemahkan dalam bentuk manfaat yang boleh dirasai, sama ada oleh petani, usahawan, golongan muda mahupun komuniti setempat,” katanya.

PSUPM 2026–2030 dilancarkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, di UPM pada 8 September lalu. Pelan itu meneruskan perancangan universiti bagi tempoh 2021–2025 dan dijajarkan dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035.

Empat domain strategik menjadi tumpuannya iaitu Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kesihatan Planet dan Kelestarian; Universiti Diiktiraf Dunia; serta Kesejahteraan Warga dan Jiwa Putra. Kesemuanya menghubungkan pembangunan institusi dengan tanggungjawab terhadap negara dan masyarakat.

Jailani berkata, pendekatan berorientasikan misi yang digunakan membolehkan UPM memulakan perancangan berdasarkan cabaran yang perlu ditangani, kemudian menyatukan kepakaran pelbagai bidang untuk merangka tindakan bersesuaian.

“Pendekatan itu penting kerana persoalan seperti keterjaminan makanan dan kelestarian alam memerlukan kerjasama merentas disiplin, selain penglibatan kerajaan, industri serta komuniti yang berhadapan sendiri dengan cabaran berkenaan.

“Dalam bidang pertanian, UPM menetapkan aspirasi sebagai hab rujukan nasional bagi transformasi sistem pertanian tropika secara menyeluruh. Tumpuannya merangkumi pendidikan, penyelidikan dan inovasi serta pemindahan ilmu kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, penekanan terhadap pertanian turut berkait rapat dengan domain Kesihatan Planet dan Kelestarian, yang melihat kesejahteraan manusia bersama keadaan alam serta sumber yang menyokong kehidupan.

“Domain itu merangkumi aspek sosioekonomi, keterjaminan makanan, biodiversiti, kesihatan dan kesejahteraan serta tenaga dan air. Pelaksanaannya menggabungkan ilmu pelbagai disiplin dengan kearifan tempatan dan amalan kampus yang menyokong pemulihan alam,” katanya.

Pengiktirafan terhadap kearifan tempatan pula membuka ruang kepada pengalaman komuniti untuk turut menyumbang dalam pencarian penyelesaian.

Masyarakat mempunyai pengetahuan tentang persekitaran mereka yang boleh melengkapi penelitian saintifik dan kepakaran akademik.

Dalam memperluas sumbangan itu, UPM turut memberi perhatian kepada jaringan antarabangsa menerusi domain Universiti Diiktiraf Dunia.

Kerjasama akademik, penyelidikan, inovasi dan industri menjadi antara ruang untuk mengembangkan kemampuan institusi.

Jailani berkata, hubungan antarabangsa perlu membawa nilai kepada pembangunan bakat serta keupayaan menangani keperluan tempatan.

Pertukaran ilmu dan kerjasama penyelidikan boleh membuka akses kepada kepakaran yang melengkapi kekuatan universiti.

“Dalam konteks manfaat awam, usaha berkenaan perlu bergerak seiring dengan kualiti pendidikan, kebolehgunaan penyelidikan dan hubungan masyarakat yang berkesan, agar kemajuan institusi turut menyumbang kepada pembangunan negara.

“Pada masa sama, domain Kesejahteraan Warga dan Jiwa Putra memberi perhatian kepada dimensi fizikal, mental, emosi, sosial dan spiritual. Persekitaran universiti yang menyokong kesejahteraan menjadi asas kepada pembelajaran serta perkhidmatan berkualiti,” katanya.

Menurut beliau, pembentukan graduan perlu merangkumi penguasaan ilmu, integriti dan kepekaan sosial. Ciri JIWA, iaitu Jati Diri, Ihsan, Wibawa dan Adaptif, membimbing pembangunan insan yang mampu menyumbang dengan bertanggungjawab.

Pelaksanaan pelan digerakkan melalui lima pemacu, iaitu Pengajaran dan Pembelajaran; Penyelidikan dan Inovasi; Khidmat Komuniti; Pendanaan dan Penjanaan; serta Rangkaian Industri, dengan sokongan enam pemboleh daya institusi.

Pemboleh daya itu meliputi Bakat; Kemampanan Sumber; AI, Pendigitalan dan Ekosistem Data; Komunikasi dan Penjenamaan; Tadbir Urus; serta Rakan Alumni, bagi menyediakan keupayaan yang diperlukan untuk menjayakan perancangan.

Beliau turut menekankan bahawa tadbir urus yang baik dan pengurusan sumber secara berhemah penting untuk memastikan setiap keutamaan pelan mendapat sokongan pelaksanaan yang sewajarnya serta menghasilkan manfaat kepada masyarakat.

Jailani berkata, kerjasama seluruh warga, alumni, industri dan masyarakat menjadi asas untuk memastikan pelan itu dilaksanakan secara tersusun. Melalui tanggungjawab bersama, UPM berhasrat memperluas sumbangan ilmu kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan manusia.