3,000 pelajar pilih TVET di UTHM

- Advertisement / Iklan -
Seramai 3,000 pelajar mendaftar dalam program TVET bagi semester 1 sesi akademik 2025/2026. Foto UTHM
Minat terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional terus meningkat apabila UTHM merekodkan 3,000 pelajar mendaftar bagi sesi akademik 2025/2026.

UNIVERSITI Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara apabila merekodkan seramai 3,000 pelajar mendaftar dalam program TVET bagi semester 1 sesi akademik 2025/2026.

Daripada jumlah itu, 2,173 pelajar mendaftar dalam program sarjana muda TVET, manakala 827 pelajar memilih program diploma TVET yang ditawarkan universiti berkenaan.

Berdasarkan statistik pendaftaran, program diploma mencatatkan peratusan pendaftaran tertinggi iaitu 79 peratus berbanding unjuran yang ditetapkan, manakala program sarjana muda TVET mencapai 67 peratus daripada sasaran.

Dalam pada itu, dua fakulti berjaya melepasi sasaran unjuran pendaftaran, iaitu Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) serta Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM).

- Advertisement / Iklan -

FPTP merekodkan 528 pendaftaran sebenar berbanding unjuran 480 pelajar, manakala FSKTM mencatatkan 330 pendaftaran berbanding sasaran awal 300 pelajar.

Selain itu, Sarjana Muda Kejuruteraan Awam muncul sebagai program paling popular apabila merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 309 pelajar.

- Advertisement / Iklan -

Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali berkata, pencapaian itu membuktikan keyakinan berterusan masyarakat terhadap kualiti pendidikan TVET yang ditawarkan universiti berkenaan.

Menurutnya, jumlah pendaftaran yang memberangsangkan itu mencerminkan kepercayaan ibu bapa dan pelajar terhadap ekosistem TVET UTHM yang berteraskan industri, inovasi serta kebolehpasaran graduan.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan fakulti yang melepasi sasaran unjuran menunjukkan strategi promosi serta penawaran program yang dilaksanakan universiti itu relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.

“Fokus UTHM bukan sekadar mencapai angka sasaran, tetapi memastikan setiap pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran berkualiti, latihan berasaskan industri serta peluang kerjaya yang kompetitif selepas tamat pengajian,” tambah beliau.

Sebagai universiti teknikal yang menawarkan 53 program sarjana muda dan tujuh program diploma di bawah TVET, UTHM akan terus memperkasa penawaran program yang responsif terhadap perkembangan teknologi serta keperluan industri bagi menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab TVET serantau.