Bukan sekadar terapi, RYTHM buka ruang OKU serlah potensi

- Advertisement / Iklan -
50 peserta PDK Changlun dan Jitra teroka potensi diri menerusi aktiviti terapi, seni dan interaksi bersama mahasiswa UUM

BUKAN sekadar bermain dan berseronok, Program RYTHM Ritma Kehidupan Harmoni menjadi ruang buat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) meneroka potensi diri, membina keyakinan serta berinteraksi dalam suasana lebih inklusif.

Menerusi program itu, seramai 50 peserta daripada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Changlun dan PDK Jitra berpeluang menyertai pelbagai aktiviti terapi, seni dan permainan bersama 30 sukarelawan serta 14 waris di Dewan Inasis Perodua, Universiti Utara Malaysia (UUM), pada Ahad.

Program Terapi OKU Daerah Kubang Pasu itu turut menjadi platform mahasiswa UUM mendekati komuniti, sekali gus menerapkan nilai empati, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial melalui pengalaman pembelajaran berasaskan komuniti.

Dalam ucapan perasmian penutup, Pengarah JKM Negeri Kedah, Ahmad Tarmidi Nawawi Abdul Razak berkata, program tersebut bukan sekadar menyediakan aktiviti dan terapi kepada golongan OKU, sebaliknya menjadi manifestasi keprihatinan serta tanggungjawab bersama dalam membentuk masyarakat yang lebih inklusif.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, perbezaan dari aspek fizikal, pembelajaran atau pertuturan tidak pernah mengurangkan nilai seseorang insan.

- Advertisement / Iklan -

“Golongan OKU perlu diberikan ruang, bimbingan dan peluang untuk mengembangkan potensi serta menjalani kehidupan yang bermakna,” katanya.

Beliau turut menyeru kerajaan, agensi berkaitan, institusi pendidikan tinggi, pertubuhan sukarela, komuniti dan keluarga supaya terus memperkukuh kerjasama dalam usaha pemulihan dan pemerkasaan golongan OKU.

Katanya, stigma terhadap golongan OKU, khususnya individu autistik, perlu ditangani menerusi pendidikan, peningkatan kesedaran dan penerimaan masyarakat.

Sementara itu, Dekan SAPSP UUM, Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad berkata, program tersebut merupakan inisiatif tanggungjawab sosial universiti dalam menyokong kesejahteraan psikososial, perkembangan emosi dan kemahiran sosial peserta PDK.

“Melalui program ini, anak-anak PDK diberi ruang untuk bermain, berinteraksi dan meneroka persekitaran mereka, manakala mahasiswa pula berpeluang mengaplikasikan teori serta mempraktikkan ilmu yang dipelajari melalui pengalaman hidup sebenar,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis penutupan program itu.

Menurut Zarina, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti bersama komuniti dapat membantu melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dari segi ilmu, malah mempunyai empati, nilai kemanusiaan dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Saya berharap pengalaman yang dilalui oleh anak-anak PDK pada hari ini bukan sekadar memberikan keseronokan untuk beberapa jam, tetapi meninggalkan kenangan yang positif dan bermakna dalam kehidupan mereka,” katanya.

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti terapi dan interaksi sosial termasuk sesi suai kenal, nyanyian, pergerakan kreatif, terapi seni menerusi aktiviti mewarna, aktiviti menggunakan doh, permainan motor kasar, Jumbo Lego serta gubahan bunga.

Pada masa sama, penglibatan sukarelawan memberi peluang kepada mahasiswa memperoleh pengalaman pembelajaran berasaskan komuniti, selain memupuk nilai empati dan semangat kesukarelawanan.