'Bukan sekadar bergelar mahasiswa'

- Advertisement / Iklan -
Pelajar baharu UPSI sedang mendaftar di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, pada Sabtu.
UPSI suntik semangat pelajar baharu manfaatkan peluang, jadi mahasiswa luar biasa

LEBIH 4,000 pelajar baharu dijangka mendaftar untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hingga Isnin.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pelajar baharu perlu memanfaatkan sebaik mungkin ruang dan peluang yang disediakan universiti bagi membina kecemerlangan akademik, kemahiran serta sahsiah.

Beliau berkata, kehadiran mahasiswa baharu bukan sahaja membawa harapan kepada diri sendiri dan keluarga, malah menjadi sebahagian daripada aspirasi serta tradisi kecemerlangan UPSI.

“Penting untuk memastikan pembelajaran turut disertai keseimbangan dari aspek kognitif dan sahsiah bagi membentuk mahasiswa yang mempunyai keunggulan akademik, kemahiran serta peribadi yang luar biasa.

- Advertisement / Iklan -

“Mahasiswa juga tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu aktif menguasai kemahiran insaniah, kepimpinan dan daya cipta,” katanya ketika menyambut pelajar baharu sempena Hari Pendaftaran Pelajar Baharu di Kampus Sultan Azlan Shah, pada Sabtu.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa baharu supaya menjaga kesihatan mental dan fizikal serta memanfaatkan ekosistem sokongan kebajikan yang disediakan universiti sepanjang tempoh pengajian.

- Advertisement / Iklan -

“Menjadi warga UPSI bermakna anda menggalas amanah tradisi kecemerlangan. Manfaatkan setiap detik di bumi bertuah ini untuk menimba ilmu, mengasah bakat serta kepimpinan dan akhirnya menjadi insan luar biasa dalam berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Md Amin, UPSI mempunyai sejarah panjang dalam bidang pendidikan sejak penubuhan Sultan Idris Training College (SITC) pada 1920-an dan terus mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang menerusi pencapaian warga kerja serta pelajarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, proses pendaftaran yang bermula 8 pagi di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City berjalan lancar dengan bantuan lebih 200 Rakan Mahasiswa Millenia dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Beliau berkata, pelajar baharu akan mengikuti pengajian di 10 fakulti iaitu Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Teknikal dan Vokasional, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan serta Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif.