Kira-kira 2,400 warga Politeknik Ungku Omar (PUO) terdiri daripada pelajar Semester 1 yang menetap di kampus kediaman serta pegawai institusi itu menyertai Kembara Merdeka PUO 2026, menjelang sambutan Hari Malaysia.
Bertemakan 'Melangkah Teguh, Menyemai Warisan Bangsa', program itu menggabungkan aktiviti kecergasan, kesukanan, kebudayaan, ilmu dan kebajikan bagi menyemarakkan penghayatan Bulan Kebangsaan dalam kalangan warga PUO.
Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, semangat kesukanan serta kecintaan terhadap budaya dan warisan bangsa perlu terus dipupuk dalam kalangan generasi muda meskipun mereka semakin sibuk mengejar kemajuan dan kecemerlangan di peringkat global.
“Kita mahu melahirkan warga PUO yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kemahiran TVET, tetapi turut mempunyai jati diri, semangat kesukanan serta menghargai budaya dan warisan bangsa.
“Kesibukan mengejar kemajuan dan kejayaan di peringkat global tidak seharusnya menjadi alasan untuk kita meninggalkan nilai-nilai tersebut,” katanya ketika menyampaikan amanat sebelum melepaskan peserta Briskwalk Patriotik.
Kemeriahan program turut diserikan dengan Konvoi Berbasikal Merdeka yang diketuai Timbalan Pengarah Akademik PUO, Norman Zamri, bersama barisan pengurusan dan warga kampus.
Bagi pelajar Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Nurin Mysarah Musa, program itu memberi peluang kepada pelajar berinteraksi dengan warga pengurusan dalam suasana lebih santai.
“Program sebegini sangat bagus dan menyeronokkan. Saya memang dari awal membawa basikal untuk ke kelas.
“Jadi apabila berpeluang menyertai konvoi berbasikal bersama barisan pengurusan PUO, saya sangat gembira kerana dapat turut serta dalam aktiviti yang meriah seperti ini,” katanya.
Selain Briskwalk Patriotik dan konvoi berbasikal, peserta turut menyertai Sukan Rakyat seperti congkak, dam aji dan batu seremban, selain mengikuti Deklamasi Sajak Merdeka serta pengisian ilmiah menerusi Siri Telaah@PUO.
Program itu turut membuka ruang kepada pelajar mengenali rakan baharu, manakala selepas Brisk Walk, mereka disajikan juadah percuma hasil Infaq Merdeka daripada jabatan dan unit di PUO.
Kemeriahan program turut diserlahkan menerusi pemberian hadiah kepada pelajar dan staf yang mengenakan busana tradisional, sekali gus menggalakkan warga PUO menghayati kepelbagaian warisan budaya Malaysia.
Kembara Merdeka PUO 2026 bukan sekadar aktiviti sambutan Bulan Kebangsaan, sebaliknya menghimpunkan elemen gaya hidup sihat, kesukanan, kebajikan, ilmu serta penghayatan budaya dan warisan dalam kalangan warga kampus.