UTP perkukuh fokus tenaga, kelestarian & masa depan boleh jana semula

- Advertisement / Iklan -

UNIVERSITI Teknologi Petronas (UTP) telah meletakkan tiga cabaran utama iaitu keselamatan tenaga, kehidupan mampan dan masa depan boleh jana semula di tengah-tengah hala tuju strategiknya dengan penyelidikan, pelaburan serta kerjasama yang dijuruskan ke arah menangani keperluan negara dan industri.

Canselor UTP, Tan Sri (Dr) Mohd Hassan Marican berkata, ketiga-tiga cabaran utama itu bukan sekadar tema penyelidikan, tetapi berfungsi sebagai asas untuk menentukan keutamaan penyelidikan, pelaburan dan kerjasama universiti tersebut.

"Pendekatan ini mencerminkan komitmen UTP untuk memastikan pendidikan, penyelidikan dan inovasi, kekal berhubung rapat dengan cabaran dunia sebenar yang dihadapi oleh masyarakat serta industri. Cabaran-cabaran utama ini bukan sekadar tema penyelidikan, tetapi ia mentakrifkan cara kami mendidik, berinovasi dan bekerjasama.

"Pendekatan itu membentuk keutamaan penyelidikan kami, membimbing pelaburan kami dan mengukuhkan rakan kongsi kami, dalam usaha memastikan kerja kami memberikan sumbangan yang bermakna kepada aspirasi Malaysia," katanya berucap pada Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia 2026 (ESTCON 2026), di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) pada Selasa.

- Advertisement / Iklan -

Kongres itu dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang dan menampilkan perhimpunan pemimpin industri, wakil kerajaan, pembuat dasar, penyelidik serta profesional teknikal yang terkemuka.

- Advertisement / Iklan -

Kongres dua hari itu, mengundang lebih daripada 30 penceramah yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa dalam bidang akademia, industri dan kerajaan, bersama-sama dengan lebih 330 pembentangan kertas teknikal merangkumi infrastruktur mampan, peralihan tenaga, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan bahan termaju.

Mohd Hassan berkata, peranan bidang kejuruteraan tidak lagi boleh dihadkan kepada reka bentuk sistem atau pembangunan teknologi semata-mata, tetapi mesti memberi tumpuan kepada penyampaian penyelesaian yang memperkukuh daya tahan dan menjana semula sistem yang penting untuk generasi masa depan.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa dunia sedang mengalami transformasi yang mendalam, termasuk peralihan tenaga pada skala dan tahap kesegeraan yang belum pernah berlaku sebelum ini, kemunculan pantas AI dan ketidakstabilan global yang semakin meningkat didorong persaingan kuasa besar yang meruncing, konflik serantau serta pemecahan perdagangan.

Sebagai rakan ilmu Petronas, Mohd Hassan berkata UTP komited untuk memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi sektor tenaga dengan membangunkan pengetahuan, teknologi dan bakat yang diperlukan untuk mempercepat perjalanan ke arah masa depan tenaga yang selamat, berdaya tahan dan rendah karbon.

"Ekosistem penyelidikan UTP sedang memajukan inovasi dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan karbon, bahan termaju, AI, robotik, kejuruteraan digital, teknologi tenaga mampan dan penyelesaian bawah permukaan untuk menyokong transformasi industri," katanya.

Beliau menyatakan bahawa institut penyelidikan UTP juga sedang disejajarkan semula secara strategik, untuk memupuk kerjasama antara disiplin dan memastikan penyelidikan bergerak melangkaui inkuiri yang didorong oleh rasa ingin tahu semata-mata, ke arah program bermatlamat dan berimpak tinggi yang menangani keutamaan negara, keperluan industri serta cabaran masyarakat.

Mengenai pembangunan bakat, Mohd Hassan berkata, UTP melalui program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraannya, sedang mempersiapkan barisan jurutera generasi akan datang dengan kecemerlangan teknikal, keupayaan inovasi, kelancaran digital dan kepimpinan beretika.

Beliau berkata, cabaran di dunia yang semakin kompleks, memerlukan kerjasama yang lebih erat antara akademia, industri, kerajaan dan institusi penyelidikan.

Sementara itu, Chang memuji UTP dan rakan-rakan kongsinya, kerana berjaya memupuk ESTCON menjadi satu daripada platform peneraju di rantau ini dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi.

Beliau berkata, kualiti penyertaan pada kongres tahun ini, yang menghimpunkan para penyelidik, pemimpin industri, pembuat dasar dan inovator dari seluruh dunia, mencerminkan kepentingan ESTCON yang semakin meningkat, lebih daripada sekadar sebuah perhimpunan akademik.

Beliau berkata, UTP telah menunjukkan kepentingan kerjasama erat antara akademia, industri dan kerajaan, melalui penyelidikan yang menyumbang kepada kecemerlangan akademik serta keutamaan negara dan perkara itu merupakan suatu ekosistem tepat yang Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited untuk perkukuhkan. - Bernama