UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Jordan memperkukuh kerjasama akademik dan kajian ilmiah menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di Amman, Jordan, pada Selasa.
Universiti Jordan, dalam satu kenyataan di laman sesawangnya, berkata MoU itu antara lain membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk memperluas bidang kepakaran serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang berkepentingan bersama.
Rektor UIAM, Prof Emeritus Dr Osman Bakar, dan Timbalan Rektor Universiti Jordan (Kualiti dan Pengiktirafan), Dr Amirah al-Misri, menandatangani MoU berkenaan dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Rektor UIAM (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Ahmad Faris Ismail, serta delegasi dari Malaysia.
Menurut kenyataan itu, Osman menyatakan hasrat UIAM untuk terus memperluas jaringan kerjasama dengan Universiti Jordan, yang mempunyai hubungan akademik yang kukuh dengan institusi tersebut.
Beliau berkata ramai tenaga pengajar UIAM merupakan pemegang ijazah kedoktoran dari universiti terkemuka di Asia Barat itu, sekali gus mencerminkan hubungan akademik yang telah lama terjalin antara kedua-dua institusi.
Sementara itu, Amirah berkata, Universiti Jordan mengalu-alukan kerjasama dengan UIAM, khususnya dalam bidang teknologi, bahasa Arab dan kajian ilmiah.
Beliau turut memuji hubungan akademik yang terjalin antara kedua-dua institusi pengajian tinggi itu melalui jaringan alumninya.
Kerjasama yang dirancang termasuk pertukaran tenaga pengajar, perkongsian kajian ilmiah, penganjuran seminar serta program pertukaran pelajar. - Bernama