UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa kebakaran di Kampung Numbak dengan menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan hasil sumbangan warga universiti.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor berkata, sumbangan itu merupakan hasil keprihatinan warga UMS termasuk kakitangan dan pelajar dalam usaha meringankan beban penduduk yang terjejas akibat kebakaran yang melibatkan lebih 200 buah rumah.
“Alhamdulillah, respons daripada warga UMS termasuk para pelajar amat membanggakan apabila ramai yang tampil menyumbangkan pelbagai barangan keperluan untuk membantu mangsa yang menerima musibah ini.
“Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan warga universiti terhadap masyarakat, khususnya mereka yang sedang berhadapan dengan kesukaran.
“Usaha pengumpulan sumbangan ini digerakkan oleh Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) yang diketuai Dekannya, Profesor Datuk Dr. Ismail Ali, bersama seluruh warga pusat berkenaan menerusi satu program pengumpulan sumbangan,” katanya dalam satu acara simbolik penyerahan sumbangan di UMS, baru - baru ini.
Tambah Datuk Dr. Kasim, penglibatan warga UMS dalam inisiatif itu turut membuktikan bahawa universiti bukan sahaja memainkan peranan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan, malah mempunyai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
“Bukan hanya dalam kejadian kebakaran di Kampung Numbak, malah sebelum ini UMS turut menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.
“Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti untuk bersama-sama masyarakat, terutama ketika mereka berdepan dengan musibah dan memerlukan bantuan,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika menyampaikan sumbangan barangan keperluan berkenaan di Masjid Al Hidayah Kg. Sabang Baru Numbak, Datuk Dr. Kasim mengingatkan penduduk kampung yang terjejas agar menjadikan aspek kesihatan dan kebersihan sebagai keutamaan berikutan keadaan persekitaran selepas kejadian kebakaran.
“Kita tidak mahu anak-anak terdedah kepada penyakit, justeru kesihatan dan kebersihan sangat penting dan kita mahu kawasan ini berada dalam keadaan bersih.
“UMS akan berusaha mendapatkan khidmat doktor serta pegawai perubatan untuk melihat keperluan kesihatan penduduk di sini,” ujar beliau.
Selain barangan keperluan asas, misi bantuan UMS turut membawa bekalan ubat-ubatan bagi membantu memenuhi keperluan awal mangsa yang terjejas.
Inisiatif itu sekali gus memperlihatkan semangat kebersamaan dan keprihatinan warga UMS dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan, selaras dengan peranan universiti untuk terus menyumbang kepada komuniti setempat.