Pelajar TESL UMS terpilih wakili Malaysia ke Program MKYEP 2026

- Advertisement / Iklan -

PELAJAR Program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Fakulti Pendidikan dan Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Avilla Adrene Marcus terpilih sebagai salah seorang wakil Malaysia ke Program Pertukaran Belia Malaysia-Korea (MKYEP) 2026.

Program berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Pemilihan Avilla dibuat menerusi proses saringan kompetitif yang bermula dengan Kem Pemilihan pada 2 hingga 5 Mei 2026 di Institut Latihan Pos Malaysia, Bangi, Selangor.

Dekan FPPS UMS, Profesor Madya Dr. Soon Sing Bikar Singh menyifatkan penyertaan Avilla sebagai pencapaian yang mencerminkan usaha fakulti dalam melahirkan bakal pendidik berfikiran global.

- Advertisement / Iklan -

“Kami berbangga melihat pelajar TESL membawa nama UMS ke platform antarabangsa melalui MKYEP 2026.

“Program pertukaran seperti ini memberikan pendedahan yang bermakna kepada pelajar serta membantu mereka membina keyakinan diri dan kesedaran terhadap kepelbagaian budaya, selaras dengan aspirasi fakulti untuk melahirkan graduan yang seimbang dan bersedia menghadapi dunia global,” ujarnya.

- Advertisement / Iklan -

Selepas terpilih mewakili Malaysia, Avilla menyertai keseluruhan siri program yang merangkumi Program Inbound di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan, dua siri Latihan Pra-Pelepasan serta Program Outbound di Seoul, Republik Korea.

Sepanjang Program Outbound, Avilla turut diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Media bagi delegasi Malaysia dengan membantu usaha dokumentasi dan publisiti program.

Beliau turut menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan, pendidikan dan kemasyarakatan bersama wakil belia dari Republik Korea.

Ketua Program TESL FPPS UMS, Dr. Ting Pick Dew, berkata pencapaian Avilla merupakan satu kebanggaan kepada Program TESL dan UMS.

“Penglibatan Avilla dalam MKYEP 2026 mencerminkan pembangunan holistik yang ingin kami lihat dalam kalangan pelajar TESL, bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi turut mampu mewakili Malaysia dengan yakin di peringkat antarabangsa.

“Pengalaman seperti ini dapat membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi dan rentas budaya yang akan memberi manfaat kepada beliau sebagai bakal pendidik bahasa Inggeris,” jelasnya.