UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif proaktif melahirkan graduan sedia kerja menerusi Program Pensijilan Profesional di bawah skim Program Tauliah Industri dan Profesional (KPTiP), baru-baru ini.
Program itu mendedahkan mahasiswa kepada kepakaran Ujian Tanpa Musnah (Non-Destructive Testing atau NDT), iaitu teknik mengesan kecacatan dalaman bahan tanpa merosakkannya, dan ditawarkan kepada pelajar tahun ketiga serta akhir daripada pelbagai bidang pengajian ijazah UMT.
Fasa pertama menyaksikan 15 pelajar lulus ujian kelayakan dan memperoleh lesen profesional, sekali gus menyokong aspirasi Dasar Pendidikan Tinggi Negara dalam menyepadukan kemahiran praktikal bernilai tinggi ke dalam ekosistem akademik.
Pengarah Pusat UMT Life, Profesor Dr. Hafiza Aishah Hashim, berkata program pensijilan itu membuktikan komitmen UMT dalam memperkasakan kemahiran praktikal berimpak tinggi bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, malah bersedia menerajui industri global dengan pentauliahan bertaraf dunia.
“Saya mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, malah bersedia menerajui industri global dengan pentauliahan bertaraf dunia,” katanya.
---
NDT menggunakan teknologi khas untuk mengesan keretakan halus pada struktur besi dan bahan industri tanpa merosakkannya, sama seperti penggunaan X-ray untuk melihat patah tulang tanpa membedah pesakit.
Latihan intensif selama 25 hari itu merangkumi dua kaedah utama, iaitu Magnetic Particle Testing (MT) yang menggunakan medan magnet untuk mengesan retak pada bahan logam, serta Liquid Penetrant Testing (PT) yang menggunakan cecair khas untuk mengesan keretakan halus pada pelbagai bahan pepejal.
Latihan turut merangkumi aspek keselamatan bahan kimia berlandaskan COSHH (Control of Substances Hazardous to Health) bagi mengendalikan cecair ujian dengan selamat tanpa menjejaskan kesihatan. Kecekapan peserta dinilai menerusi peperiksaan akhir teori dan praktikal 100 peratus sebelum sijil diberikan.
Kepakaran NDT amat kritikal dalam sektor industri berisiko tinggi seperti minyak dan gas, penerbangan serta pembinaan kerana keretakan kecil pada struktur paip gas, rangka pesawat atau jambatan besi yang tidak kelihatan dengan mata kasar boleh mengakibatkan kemalangan jiwa yang dahsyat.
Melalui teknik NDT, kerosakan dapat dikesan seawal mungkin tanpa memotong atau merosakkan komponen asal, sekali gus menjamin keselamatan operasi, menjimatkan kos penyelenggaraan dan memanjangkan jangka hayat fasiliti.
Permintaan terhadap tenaga pakar NDT bertauliah juga sentiasa tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Mahasiswa yang lulus peperiksaan dianugerahkan Certification of Proficiency di bawah International Personnel Certification Scheme (IPCS) yang diiktiraf mengikut piawaian ISO 9712.
Sijil bertaraf dunia itu memberikan kelebihan kebolehpasaran kepada graduan dalam pasaran kerja yang kompetitif, manakala pendedahan praktikal berstandard antarabangsa memberi keyakinan untuk melangkah ke pasaran kerja dengan pakej kemahiran yang lengkap.
Program itu dijangka terus diperluas bagi melahirkan lebih ramai profesional muda berdaya saing demi memacu kemajuan industri negara.