Tiga universiti membentuk pakatan Tripple Alliance

- Advertisement / Iklan -
Foto Bernama
Sunway, Monash Malaysia dan Taylor’s perkasa pendidikan, penyelidikan serta pengalaman merentas kampus

MUZIK mewarnai detik bermulanya lembaran baharu kerjasama akademik tiga universiti terkemuka yang bersepakat di bawah Triple Alliance, dengan persembahan orkestra filharmonik menandakan pelancaran usaha berkenaan malam tadi.

Perikatan itu menghimpunkan Sunway University, Monash University Malaysia dan Taylor’s University dengan tujuan memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan serta penyelidikan dan inovasi, di samping mewujudkan peluang serta pengalaman yang lebih luas untuk pelajar di ketiga-tiga institusi.

Presiden dan Naib Canselor Sunway University, Prof Sibrandes Poppema berkata, kerjasama itu memperlihatkan bagaimana universiti dapat memperluas impak masing-masing dengan menggabungkan kekuatan dan kepakaran yang saling melengkapi.

"Sebagai universiti generasi kelima yang berteraskan misi, Sunway University komited bukan hanya pada kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan, tetapi juga untuk menghasilkan impak yang bermakna buat masyarakat.

- Advertisement / Iklan -

"Dengan menggabungkan kekuatan yang saling melengkapi, kita dapat mewujudkan lebih banyak peluang untuk pelajar, memajukan ilmu pengetahuan dan inovasi, selain menyumbang kepada aspirasi Malaysia dalam pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan mampan,” katanya pada majlis pelancaran Triple Alliance di sini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Pengerusi yang juga pengasas Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Foto Bernama

- Advertisement / Iklan -

Secara keseluruhan, ketiga-tiga universiti itu membentuk sebuah komuniti merangkumi lebih 64,500 pelajar dan 5,657 kakitangan, dengan kerjasama mencakupi bidang pendidikan, penyelidikan, perkongsian sumber, kehidupan pelajar serta impak kepada masyarakat.

Di bawah usaha tersebut, tiga institusi ini akan meneroka penyelidikan pelbagai disiplin dalam bidang termasuk kecerdasan buatan (AI), penjagaan kesihatan dan inovasi digital menerusi geran bersama, program penyelidikan kolaboratif serta kerjasama dengan industri.

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada pengalaman merentas kampus, peluang mobiliti, akses kepada kemudahan dan inisiatif keusahawanan secara kolaboratif. Usaha itu juga akan menyokong pembangunan kepimpinan, kesukarelawanan, jaringan rakan sebaya dan kesejahteraan mental.

Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, kerjasama itu akan memperluas peluang kepada pelajar, mempercepat penyelidikan dan memperkukuh penglibatan dengan industri, kerajaan serta masyarakat.

"Tanggungjawab universiti bukan hanya untuk mendidik, tetapi juga perlu bekerjasama dalam menangani pelbagai cabaran kompleks yang dihadapi masyarakat kita,” katanya.

Naib Canselor dan Presiden Taylor's University, Prof Barry Winn pula berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama untuk menterjemahkan kolaborasi kepada hasil yang bermakna buat pelajar, masyarakat dan negara.

"Triple Alliance dibina atas kepercayaan bersama, iaitu perubahan yang bermakna berlaku apabila pelbagai kekuatan disatukan,” katanya. - Bernama