RPTM 2026-2035 lahir mahasiswa kompeten, berjiwa manusia – Zambry

- Advertisement / Iklan -
Pendidikan tinggi perlu seiringkan kemahiran, karakter dan keupayaan berdepan perubahan dunia pekerjaan

PENDIDIKAN tinggi negara perlu melangkaui usaha melahirkan graduan berpengetahuan dan berkemahiran apabila pembentukan karakter serta nilai kemanusiaan turut menjadi asas penting dalam melahirkan mahasiswa yang mampu menghadapi masa depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pendekatan itu antara penekanan yang dibawa menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 bagi memastikan mahasiswa bukan sahaja kompeten dalam bidang masing-masing, malah memiliki nilai diri yang baik.

“Matlamat pendidikan ialah untuk menjadikan diri kita orang yang lebih baik. Kalau kita belajar tetapi karakter dan perangai kita menjadi lebih teruk, itu bukan matlamat pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Sembang Santai Bersama Doc Zam sempena Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sabtu lalu.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, pembangunan mahasiswa berteraskan pendekatan humanity-centric penting supaya kecemerlangan akademik dapat bergerak seiring dengan pembentukan sahsiah dan nilai kemanusiaan.

- Advertisement / Iklan -

Katanya, keperluan itu semakin penting susulan perubahan pesat teknologi termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), model bahasa besar dan teknologi pengkomputeran yang sedang mengubah landskap dunia pekerjaan.

“Cabaran adik-adik hari ini lebih dahsyat daripada zaman kami. Sebab itu kita perlu membuat perubahan dalam sistem pendidikan tinggi supaya adik-adik dapat mempersiapkan diri untuk berhadapan dengannya,” katanya.

Dalam tempoh 10 tahun pelaksanaan RPTM, Zambry berkata, sistem pendidikan tinggi turut memberi ruang kepada laluan pembelajaran yang lebih fleksibel, termasuk peluang untuk individu kembali melanjutkan pengajian selepas memasuki alam pekerjaan.

Katanya, laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (APEL) juga boleh dimanfaatkan bagi mengiktiraf pengalaman dan pembelajaran yang diperoleh sepanjang perjalanan kerjaya.

“Dunia kita hari ini adalah dunia yang berasaskan ilmu. Kalau adik-adik ketinggalan, dunia akan meninggalkan adik-adik. Garaplah dan belajarlah kerana ruang itu diberikan seluas-luasnya,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 yang menghimpunkan 807 peserta daripada pelbagai institusi pengajian dan Tingkatan Enam menjadi platform untuk membina jaringan, keyakinan serta semangat kebersamaan dalam kalangan anak Perak.

Beliau berkata, kepelbagaian latar belakang peserta daripada pelbagai daerah dan kaum mencerminkan semangat perpaduan yang perlu terus diperkukuh bagi membentuk generasi pemimpin masa depan yang berdaya saing.

“Kita jangan jadikan perbezaan institusi, sekolah atau daerah sebagai sebab untuk kita merasakan bahawa kita hanya dimiliki oleh daerah tertentu. Kita semua ialah anak-anak Perak,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, program tersebut memberi peluang kepada siswa Perak berkongsi pengalaman selain mendapatkan inspirasi daripada tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam kepimpinan dan pendidikan tinggi.

“Pertemuan seperti ini penting dalam membentuk generasi muda yang mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.