JHEP UiTM pastikan kebajikan pelajar insiden KKEC terbela

- Advertisement / Iklan -
Jabatan Hal Ehwal Pelajar beri perhatian penuh kepada lapan pelajar yang masih menerima rawatan susulan

KEBAJIKAN dan keselamatan pelajar terus menjadi keutamaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) susulan insiden yang berlaku ketika pelaksanaan Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026.

Dalam satu kenyataan, JHEP UiTM menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, peserta KKEC 2026 dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan, selain merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Pada masa sama, JHEP memberi perhatian penuh terhadap lapan pelajar lain yang menerima rawatan susulan dengan bekerjasama rapat bersama pengurusan UiTM Cawangan Pahang, cawangan UiTM yang terlibat serta pihak hospital.

"Sebagai tanda keprihatinan dan solidariti, wakil JHEP turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham selain menziarahi pelajar yang menerima rawatan serta menyalurkan bantuan dan sokongan kepada keluarga dan pelajar terbabit," menurut kenyataan berkenaan.

- Advertisement / Iklan -

Menurut JHEP, pihaknya juga menyelaras komunikasi dengan keluarga serta memantau keperluan kebajikan dan emosi pelajar sepanjang tempoh rawatan bagi memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian.

- Advertisement / Iklan -

"Dalam pada itu, pihak UiTM mengambil langkah segera dengan membatalkan aktiviti luar KKEC 2026 yang dijadualkan pada 6 September lalu sebagai usaha mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan peserta.

'JHEP memandang serius insiden berkenaan dan akan terus bekerjasama dengan pihak pengurusan universiti serta pihak berkepentingan bagi memastikan tindakan susulan yang sewajarnya dilaksanakan," katanya.

Menurut JHEP, setiap dapatan berkaitan insiden itu akan diteliti secara menyeluruh sebelum langkah penambahbaikan sewajarnya diambil, khususnya bagi memperkukuh aspek keselamatan dan kesejahteraan dalam pelaksanaan program mahasiswa pada masa hadapan.

Dalam masa sama, JHEP memohon kerjasama semua pihak supaya menghormati privasi keluarga Allahyarham serta pelajar yang masih menerima rawatan dan tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau maklumat yang tidak sahih.

Segala perkembangan berkaitan keadaan pelajar akan disampaikan menerusi saluran rasmi universiti bagi memastikan maklumat yang diterima masyarakat adalah tepat dan sahih.

JHEP menegaskan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar kekal sebagai keutamaan dengan penekanan berterusan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta tatacara keselamatan yang ditetapkan dalam setiap pelaksanaan program dan aktiviti mahasiswa.