BUKAN sekadar turun padang membantu, sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) memilih untuk menyelami kehidupan komuniti Pulau Tidung, Kepulauan Seribu, Jakarta menerusi Misi Kemanusiaan Antarabangsa Indonesia 3.0 (MKAI 3.0).
Seramai 22 mahasiswa yang menyertai misi anjuran Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) itu melaksanakan pelbagai aktiviti meliputi pendidikan, konservasi, kesihatan dan silang budaya dari 28 Julai hingga 2 Ogos 2026 lalu.
Pengarah MKAI 3.0, Muhammad Amirul Nasrul Edie, 22, berkata, pengalaman melaksanakan misi di kawasan luar bandar membuka mata sukarelawan terhadap jurang akses pendidikan dan teknologi yang masih wujud dalam kalangan sesetengah komuniti.
“Kami melihat sendiri perbezaan kemudahan antara masyarakat bandar dan luar bandar. Pengalaman ini menyemarakkan semangat kami untuk terus membantu dalam memastikan tiada golongan yang tercicir, di samping memelihara kelestarian alam dan budaya tempatan,” katanya yang juga merupakan pelajar Sarjana Muda Kewangan.
Menurutnya, pemilihan Pulau Tidung sebagai lokasi misi bukan dibuat secara kebetulan apabila kawasan berkenaan mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan, namun pada masa sama berdepan beberapa cabaran yang boleh mengekang perkembangannya.
Hasil tinjauan awal menerusi Recce 1.0 pada Disember 2025 mendapati tahap literasi digital komuniti, khususnya dalam penggunaan media sosial dan platform digital bagi mempromosikan produk serta tarikan pelancongan, masih perlu diperkasakan.
Selain itu, penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan sebahagian masyarakat setempat turut dikenal pasti sebagai antara cabaran, terutama dalam komunikasi dengan pelancong antarabangsa serta akses kepada peluang pembangunan diri.
Berdasarkan keperluan tersebut, MKAI 3.0 menggerakkan lima modul utama yang memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti, pendidikan, alam sekitar, kesihatan dan silang budaya.
Antaranya ialah keusahawanan digital, pelancongan holistik, konservasi paya bakau, kesihatan awam serta gastronomi dan sukaneka warisan.
Menerusi modul keusahawanan digital, remaja di Pulau Tidung didedahkan kepada penggunaan aplikasi seperti Canva dan TikTok bagi membantu mempromosikan produk serta perkhidmatan tempatan.
Sementara itu, aspek pendidikan diperkasa melalui pengenalan asas bahasa Inggeris bagi membantu pelajar berkomunikasi dengan pelancong yang berkunjung ke kawasan berkenaan.
Program tersebut melibatkan pelajar daripada dua sekolah iaitu SMKN 61 Jakarta dan SMPN 241 Jakarta.
Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Mikrobiologi dan Genetik Molekul, Nur Iman Qistina Adzni, 20, menyifatkan penyertaan dalam misi berkenaan sebagai pengalaman yang membuka mata serta meningkatkan rasa syukur terhadap kemudahan pendidikan dan teknologi yang dinikmatinya.
“Saya berharap aktiviti yang dilaksanakan dapat membantu masyarakat Pulau Tidung dalam membangunkan potensi ekonomi pelancongan mereka kerana kawasan ini mempunyai keindahan semula jadi dan komuniti yang sangat mesra,” katanya.
Bagi Mohd Haziq Aqil Hass, 21, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Sosial dari Sarawak, pengalaman menyertai MKAI 3.0 memberikan perspektif berbeza walaupun beliau sebelum ini aktif dalam aktiviti kesukarelawanan di negeri tersebut.
“Saya memang aktif dalam aktiviti kesukarelawanan di Sarawak, namun pengalaman MKAI 3.0 amat berbeza kerana kali ini saya berpeluang membantu masyarakat di negara jiran serta berinteraksi secara lebih dekat dengan budaya dan komuniti Pulau Tidung.
“Walaupun terdapat sedikit perbezaan bahasa dan budaya, ia bukan penghalang untuk kami saling memahami dan bekerjasama,” katanya.
Manakala Iman Balkis Mohd Yaakob, 21, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan yang sebelum ini menyertai MKAI 2.0 berkata, pengalaman tersebut mendorongnya untuk kembali menyertai misi berkenaan.
“Selepas menyertai MKAI 2.0, saya ingin merasai pengalaman ini sekali lagi. Alhamdulillah, sepanjang berada di Pulau Tidung bersama ahli kumpulan yang bersungguh-sungguh, prihatin dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, saya sekali lagi berasa bersyukur dan gembira setelah berjaya menyelesaikan misi ini.
“Tidak dilupakan juga sokongan luar biasa daripada pihak HEP yang banyak membantu menjayakan misi kami. MKAI 3.0 sememangnya sebuah pengalaman yang sangat bermakna dan akan saya ingat sampai bila-bila,” katanya.