PELAJAR wanita dari Malaysia dan Thailand diberi ruang memperluas pandangan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi program STEM ConnectHER @ PSU Pattani – Cross-Border STEM Learning Trip yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Program itu melibatkan pelajar wanita dari Prince of Songkla University (PSU), Pattani Campus, Thailand yang berpeluang meneroka suasana pembelajaran, inovasi serta perkembangan STEM di institusi pendidikan tinggi Malaysia.
Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) UiTM, Prof Madya Dr Badrul Isa berkata, pendedahan rentas sempadan seperti itu penting bagi membina keyakinan pelajar wanita untuk melihat STEM sebagai bidang yang mampu diterokai dan diterajui mereka.
“STEM ConnectHER membawa mesej bahawa pelajar wanita mempunyai potensi yang besar untuk meneroka, menguasai dan menjadi peneraju dalam bidang STEM.
"Melalui pendedahan seperti ini, kita mahu mereka lebih yakin terhadap kebolehan sendiri, berani meneroka peluang baharu dan melihat STEM sebagai sebahagian daripada masa depan mereka,” katanya.
Menurut beliau, menerusi program berkenaan, peserta berpeluang mengunjungi kemudahan serta fasiliti di UiTM selain menyertai sesi perkongsian ilmu dan aktiviti pembelajaran secara interaktif.
"Pendedahan itu bukan sahaja memberi gambaran lebih dekat mengenai aplikasi sains dan teknologi dalam pendidikan tinggi, malah membuka ruang kepada peserta untuk memahami potensi kerjaya serta peluang inovasi yang boleh diterokai selepas tamat pengajian.
"Dalam masa sama, program tersebut menjadi platform memperkukuh jaringan golongan muda ASEAN apabila pelajar Malaysia dan Thailand dapat bertukar pandangan, pengalaman serta perspektif berkaitan pendidikan dan pembangunan STEM," katanya.
Kerjasama rentas negara itu turut berpotensi dikembangkan kepada bidang mobiliti pelajar, pembangunan STEM, pertukaran pengetahuan serta usaha memperkasakan wanita muda di rantau ASEAN.
Lebih daripada sekadar lawatan akademik, STEM ConnectHER membawa mesej bahawa pengalaman, pendedahan dan jaringan yang dibina sejak di bangku universiti mampu menjadi pencetus kepada keberanian golongan muda untuk melangkah lebih jauh.
Bagi pelajar wanita, peluang sebegini juga memberi ruang untuk melihat STEM bukan sekadar subjek di dalam bilik kuliah, sebaliknya sebagai dunia yang menawarkan pelbagai kemungkinan untuk mereka cipta, meneroka dan menjadi pemimpin masa depan.