PERJALANAN lebih sedekad menuntut ilmu mendapat pengiktirafan apabila alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Siti Hawa Apandi mencipta sejarah sebagai individu pertama menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) yang berjaya menamatkan pengajian tinggi secara berterusan dari peringkat diploma hingga Doktor Falsafah (PhD) di universiti sama.
Kejayaan itu diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) menerusi kategori"First ‘SMA’ Patient to Complete Continuous Higher Education Studies From Single University”.
Pengiktirafan berkenaan disampaikan Pegawai Rasmi Malaysia Book of Records, Siti Nurhanim Mohd Noh di kediaman Siti Hawa di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan.
Turut hadir Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang menyempurnakan simbolik pemakaian jubah konvokesyen sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian luar biasa alumni berkenaan.
Siti Hawa yang menjalani kehidupan berkerusi roda akibat SMA memulakan perjalanan akademiknya di UMPSA pada 2007 menerusi pengajian diploma.
Beliau kemudiannya meneruskan pengajian sehingga memperoleh Sarjana Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) pada 2016 sebelum melengkapkan pengajian PhD pada tahun lalu.
Di sebalik pencapaian itu, ibunya, Zaidah Tamjis, 63, menjadi tonggak utama yang sentiasa berada di sisi sepanjang perjalanan akademik lebih sedekad tersebut.
Malah, Zaidah turut tinggal bersama anaknya di kolej kediaman UMPSA sejak zaman pengajian diploma sehingga Siti Hawa menamatkan pengajian.
Namun, perjalanan menuju kejayaan itu bukan tanpa cabaran.
Siti Hawa tidak berkesempatan menyarungkan jubah PhD pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 selepas keadaan kesihatannya memerlukan rawatan rapi susulan komplikasi jangkitan paru-paru.
Anugerah beliau kemudiannya disampaikan kepada ibu bapanya oleh Pro Canselor UMPSA, Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor.
Menurut Yatimah, kejayaan Siti Hawa bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarganya, malah turut menjadi penghormatan besar kepada seluruh warga UMPSA.
Katanya, pencapaian itu membuktikan semangat, kesungguhan dan keazaman mampu mengatasi pelbagai cabaran dalam perjalanan menuntut ilmu.
Beliau berkata, UMPSA sentiasa komited memperkasakan agenda pendidikan inklusif dengan menyediakan ekosistem pembelajaran yang kondusif serta peluang sama rata kepada semua pelajar.
Pengiktirafan MBR itu diharap menjadi inspirasi kepada masyarakat bahawa pendidikan merupakan hak setiap individu dan tiada batasan untuk mencapai kejayaan dengan adanya kecekalan, sokongan keluarga serta komitmen institusi pendidikan.