KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil langkah segera untuk memperluas kebebasan bersuara dan hak berpersatuan mahasiswa, selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta 30] (AUKU).
Menurut kenyataan KPT, langkah itu diambil susulan penegasan Perdana Menteri dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 13 bahawa langkah yang boleh memberikan lebih kebebasan kepada mahasiswa perlu dilaksanakan segera sementara proses pembangunan kerangka perundangan baharu sedang dilaksanakan.
“Dalam forum tersebut, perdana menteri menegaskan bahawa sementara proses pembangunan kerangka perundangan baharu dilaksanakan, langkah-langkah yang boleh memberikan lebih kebebasan kepada mahasiswa perlu dilaksanakan segera, tanpa perlu menunggu keseluruhan proses penggubalan akta baharu selesai,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KPT telah meneliti langkah-langkah yang boleh dilaksanakan dalam kerangka perundangan sedia ada bagi menterjemahkan penegasan tersebut dengan segera.
Hasil penelitian, beberapa peruntukan dalam AUKU serta Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang mengehadkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pemakaian sebagai langkah pelaksanaan segera.
Antara perkara yang dikenal pasti ialah kebebasan pengurusan persatuan dan kelab, kebebasan pengurusan aktiviti pelajar serta kebebasan bersuara, berhimpun, penggunaan platform komunikasi dan pengedaran serta penerbitan dokumen.
Selaras dengan langkah tersebut, KPT mengumumkan bahawa semua prosiding tatatertib berkaitan dengan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua universiti awam hendaklah dihentikan berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, menurut KPT, kebebasan tersebut perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab dan keluhuran undang-undang.
“Perbuatan yang melibatkan keganasan, vandalisme, kerosakan harta, kesalahan jenayah, salah laku akademik atau pelanggaran tatatertib yang sah tetap tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, KPT turut mengambil kira kedudukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tidak tertakluk kepada AUKU.
Menurut KPT, penelitian yang sama akan dilaksanakan terhadap peruntukan masing-masing yang berkaitan mahasiswa agar selaras dengan langkah pembaharuan yang dilaksanakan di bawah AUKU.
KPT berkata, pihaknya terus komited meneruskan pembangunan tatakelola pendidikan tinggi yang terbuka, tersusun dan inklusif melalui penglibatan semua pemegang taruh.
“Langkah ini bagi memastikan penghasilan satu ekosistem pendidikan tinggi masa hadapan negara yang berkualiti,” menurut kenyataan itu.