Kem AMAR MARA: Mahasiswa diasah jadi ejen antirasuah

- Advertisement / Iklan -

MEMBINA mahasiswa berintegriti bukan sekadar melalui kuliah, sebaliknya memerlukan pendedahan yang mampu membentuk jati diri, keberanian dan rasa tanggungjawab sebagai generasi masa depan.

Atas kesedaran itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Unit Integriti (UI) MARA terus memperkukuh usaha membentuk mahasiswa Institusi MARA (IPMa) sebagai ejen perubahan menerusi pelaksanaan Kem Integriti Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) secara konsisten setiap tahun.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Samsul Salip berkata, komitmen SPRM dan MARA dalam memperkasa integriti mahasiswa dapat dilihat menerusi penganjuran sebanyak 31 Kem AMAR IPMa sejak 2015.

Beliau berkata, usaha membentuk mahasiswa sebagai ejen perubahan bukan sesuatu yang mudah kerana golongan muda mempunyai peranan penting dalam mencorakkan masa depan masyarakat dan negara.

- Advertisement / Iklan -

“Membina karisma mahasiswa sebagai ejen perubahan dalam masyarakat bukanlah suatu usaha yang mudah kerana sejarah telah membuktikan bahawa setiap transformasi sosial, pembaharuan pemikiran dan kebangkitan moral dalam sesebuah negara sentiasa bermula daripada idealisme golongan muda,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata demikian ketika berucap pada MARA Character Enrichment Programme Kem Integriti Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Siri 1 2026 di Pusat Kecemerlangan Pelajar (PUSKEP) MARA Lenggong, Perak.

Majlis perasmian program disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Zahari Aziz dan turut dihadiri wakil pengurusan MARA negeri serta PUSKEP.

Menurut Samsul, kem berkenaan direka bukan sekadar untuk memberi kefahaman mengenai integriti dan antirasuah, tetapi turut menyemai nilai serta semangat dalam diri mahasiswa agar mampu menjadi contoh kepada masyarakat.

“Justeru, kem integriti ini direka khas bukan sahaja untuk memberi pendedahan kefahaman, tetapi untuk menyalakan semangat dan integriti tinggi dalam diri pelajar IPMa melalui modul-modul yang dilaksanakan,” katanya.

Kem AMAR IPMa Siri 1 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Ogos di PUSKEP MARA Lenggong dengan penyertaan hampir 100 mahasiswa daripada 21 IPMa.

Peserta terdiri daripada mahasiswa Institusi MARA dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Program tersebut turut menjadi platform kepada mahasiswa untuk membina keyakinan diri, kemahiran kepimpinan serta kesedaran mengenai kepentingan integriti dalam kehidupan dan persekitaran kampus.