20 pasukan, 14 Institusi TVET meriahkan Futsal Cup 2026

- Advertisement / Iklan -

BUKAN sekadar mengejar gol dan kemenangan, 20 pasukan daripada 14 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkumpul di D’Star Arena, Challenger Sports Centre, Ampang, bagi merapatkan silaturahim menerusi Inter-College Friendly Futsal Cup 2026, pada Selasa.

Program anjuran Kolej Teknologi Bestari (KTB) Cawangan Ampang itu menghimpunkan pelajar daripada pelbagai institusi TVET dalam suasana santai, kompetitif dan penuh semangat kesukanan.

Lebih daripada sekadar pertandingan futsal, program berkenaan menjadi ruang untuk pelajar berkenalan, membina jaringan serta mengukuhkan hubungan antara institusi TVET menerusi aktiviti sukan.

Pada masa sama, penganjuran itu turut memberi peluang kepada warga KTB mendapatkan pengalaman sebenar dalam mengendalikan acara melibatkan penyertaan pelbagai institusi, termasuk pengurusan peserta, pendaftaran, operasi pertandingan, promosi dan penyelarasan program.

- Advertisement / Iklan -

Antara institusi yang mengambil bahagian ialah Kolej JSJ Seremban, AME Training Academy, Institut Kemahiran Permata, Master Weld Akademi, Mastura International, CQ-TEC TVET College, Kolej Genius, KWT EV Akademi.

Turut terlibat, Universiti Geomatika, Kolej TAFE Seremban, S.A.I International College, Azmida Technical College, Meatech Creative Academy serta Kolej Teknologi Bestari Cawangan Ampang.

- Advertisement / Iklan -

Majlis perasmian disempurnaka oleh ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad@Altimet.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kolej Teknologi Bestari merangkap EXCO FEMAC Kebangsaan, YM Tengku Ahmad Mujahid Tengku Mahmud dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kolej Teknologi Bestari merangkap Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM), Datuk Bedolah Botok.  

Menurut KTB, sukan dilihat sebagai medium yang mampu merapatkan pelajar daripada latar belakang institusi berbeza dalam suasana yang lebih terbuka.

“Sukan mempunyai kekuatan untuk menyatukan pelajar daripada latar belakang institusi yang berbeza.

"Melalui program ini, kami bukan sahaja mahu melahirkan semangat kesukanan, tetapi turut membuka ruang kepada pembinaan jaringan dan kerjasama yang lebih luas antara institusi TVET,” katanya.

KTB berharap penganjuran tersebut dapat dijadikan platform berkala untuk mempertemukan institusi TVET, sekali gus membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam bidang pendidikan, kemahiran, pembangunan pelajar dan aktiviti kemasyarakatan.

"Selain menguji kemahiran di gelanggang, program itu turut memberi penekanan kepada pembangunan pelajar secara holistik menerusi pembentukan sahsiah, kepimpinan, disiplin, kerja berpasukan dan kemahiran insaniah," katanya.

Bagi KTB, nilai yang dibina di luar bilik kuliah juga penting dalam membentuk pelajar TVET yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, tetapi mampu bekerjasama, berkomunikasi dan membina jaringan apabila melangkah ke alam pekerjaan.