Rumah terbakar, UniMAIWP tak biarkan mahasiswa sendiri

- Advertisement / Iklan -
BHEPA turun padang menziarahi dan membantu mahasiswi yang terjejas akibat kebakaran rumah

KETIKA sebuah keluarga berdepan musibah selepas rumah mereka dilanda kebakaran, kehadiran pihak universiti sedikit sebanyak menjadi penguat buat seorang mahasiswi Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP).

Prihatin dengan keadaan mahasiswi berkenaan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) UniMAIWP turun padang menziarahi mangsa serta keluarganya di Trong, Perak, selain menyampaikan bantuan sebagai tanda keprihatinan pihak universiti.

Kunjungan kebajikan itu disertai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAIWP, Farah Fara Fadila Sumaji dan Ketua Jabatan Kebajikan BHEPA, Syahirah Husna Rusdi.

Selain menyampaikan bantuan, kunjungan tersebut turut memberi peluang kepada pihak universiti melihat sendiri keadaan mahasiswi dan keluarganya selepas kejadian berkenaan, di samping mengenal pasti keperluan serta bentuk sokongan yang sesuai.

- Advertisement / Iklan -

BHEPA dalam kenyataan berkata, kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa menjadi antara keutamaan UniMAIWP, terutama apabila mereka berdepan situasi di luar jangka.

- Advertisement / Iklan -

“UniMAIWP sentiasa cakna terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa. Apabila berlaku musibah seperti ini, kita mahu mahasiswa tahu bahawa mereka tidak bersendirian.

“Kita akan sentiasa berusaha untuk hadir, mendengar dan memberikan sokongan serta bantuan yang bersesuaian mengikut keperluan mereka,” katanya.

Bantuan yang disampaikan diharapkan dapat sedikit sebanyak meringankan beban mahasiswi dan keluarganya yang terkesan akibat kejadian kebakaran tersebut.

Bagi UniMAIWP, sokongan kepada mahasiswa tidak seharusnya terhenti di dalam bilik kuliah atau berkaitan pencapaian akademik semata-mata.

Sebaliknya, perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan turut penting bagi memastikan mahasiswa mendapat sokongan ketika berdepan cabaran serta dugaan dalam kehidupan.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen UniMAIWP untuk terus memberi perhatian terhadap aspek kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan mahasiswa, selaras dengan usaha universiti memperkasa kecemerlangan akademik serta pembangunan insan.

Bagi mahasiswi dan keluarganya, kehadiran pihak universiti ketika mereka sedang berdepan musibah sekurang-kurangnya memberi isyarat bahawa mereka tidak perlu melalui detik sukar itu seorang diri.