LEBIH 60 hasil inovasi reka bentuk yang dihasilkan 33 pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Teknologi Seni Reka Perindustrian, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dipamerkan kepada umum menerusi Industrial Design (IDE) Showcase 2026 V2.0 bertemakan VERTEX yang berlangsung di Auditorium Utama, Kompleks Ilham, FSSR UiTM Shah Alam, baru-baru ini.
Pameran tahunan itu menghimpunkan pelbagai projek reka bentuk merangkumi produk pengguna, perabot, automotif, pengangkutan dan teknologi, sekali gus memperlihatkan keseluruhan proses pembangunan produk bermula daripada penyelidikan, penjanaan idea, pembangunan konsep sehingga penghasilan prototaip.
Lebih menarik, pameran tersebut bukan sekadar menjadi platform mempamerkan kreativiti pelajar, malah membuka peluang kerjaya apabila syarikat automotif nasional, Perodua, mengadakan sesi temu duga bagi mengenal pasti bakat baharu dalam kalangan pelajar tahun akhir.
Pengarah Institut Seni Kreatif dan Reka Bentuk (ICAD), Universiti UCSI Malaysia, Profesor Ts. Dr. Khairul Aidil Azlin Abd. Rahman berkata, pelajar bidang reka bentuk perlu membina penjenamaan diri sejak di bangku universiti bagi meningkatkan kebolehpasaran serta membuka lebih banyak peluang dalam industri kreatif.
Menurutnya, selain menghasilkan karya berkualiti, pelajar juga perlu bijak mempromosikan portfolio melalui platform digital seperti Instagram agar hasil kerja mereka mudah diakses oleh pemain industri.
"Yang penting bagi pelajar ialah membina nama atau branding sendiri kerana itulah yang akan menjadikan seseorang lebih dikenali.
"Muat naik lakaran, idea dan hasil kerja di platform seperti Instagram supaya portfolio mudah dilihat oleh industri serta membuka peluang kerjasama dan pekerjaan," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian penutup.
Beliau berkata, pereka masa kini tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada peluang pekerjaan, sebaliknya perlu memanfaatkan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) untuk mengembangkan kerjaya dan menjana pendapatan sendiri.
"Pereka hari ini tidak semestinya perlu bergantung kepada majikan. Gunakan kreativiti, teknologi dan AI sebagai alat untuk berkarya, membina jenama sendiri serta menjana pendapatan. Nilai keusahawanan juga perlu diterapkan dalam diri setiap pereka," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan kesedaran terhadap harta intelek (IP) bagi memastikan hasil reka bentuk mendapat perlindungan sewajarnya.
Katanya, masih ramai beranggapan pendaftaran IP memerlukan kos yang tinggi, sedangkan perlindungan hak cipta (copyright) sudah memadai untuk melindungi hasil karya daripada ditiru.
"Apabila mempunyai IP, ia bukan sahaja melindungi hasil karya, malah menjadi aset yang mampu menjana pendapatan pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Koordinator Prasiswazah Jabatan Teknologi Rekabentuk, Dr. Haszlin Shaharudin berkata, setiap projek yang dipamerkan merupakan hasil proses pembelajaran yang komprehensif merangkumi penyelidikan, pembangunan konsep, pembinaan model, pengujian serta penambahbaikan.
Katanya, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada aspek penghasilan produk yang menarik, malah dilatih mengenal pasti masalah sebenar, memahami keperluan pengguna dan menghasilkan penyelesaian yang praktikal serta bertanggungjawab.
"Jangan nilai kejayaan hanya berdasarkan hasil akhir, tetapi lihat sejauh mana anda berkembang dari segi pemikiran, kemahiran dan keyakinan diri," katanya.
Beliau berkata, pameran itu turut menjadi platform terbaik untuk pelajar membina jaringan profesional bersama wakil industri, selain mengasah kemahiran komunikasi dalam menyampaikan idea dan konsep reka bentuk.
Menurutnya, Industrial Design Showcase 2026 V2.0 bukan sahaja memperkukuh identiti program Industrial Design UiTM, malah menjadi medan mengetengahkan bakat pereka muda kepada masyarakat dan industri.
Dalam pada itu, Pengarah Program Industrial Design Showcase 2026 V2.0, Amirah Hanis Azman berkata, pameran berkenaan merupakan kemuncak kepada perjalanan akademik pelajar dalam menghasilkan reka bentuk yang berkualiti dan memenuhi keperluan pengguna.
"Industrial Design Showcase bukan sekadar sebuah pameran, tetapi kemuncak kepada satu perjalanan panjang bermula daripada mengenal pasti masalah, menjalankan penyelidikan, menghasilkan idea, membina model serta prototaip sebelum dipersembahkan kepada umum," katanya.