2,300 mahasiswa PUO gegarkan kampus dengan Jalur Gemilang!

- Advertisement / Iklan -
Sembilan kereta berhias dan ribuan Jalur Gemilang mewarnai Perarakan Merdeka @PUO 2026

JALUR Gemilang berkibar, lagu patriotik bergema dan sembilan kereta berhias mencuri perhatian apabila kira-kira 2,300 mahasiswa Politeknik Ungku Omar (PUO) menyemarakkan Bulan Kebangsaan menerusi Perarakan Merdeka @PUO 2026, hari ini.

Perarakan bermula dari Astaka, Padang Kampus A menuju ke Dewan Jubli Perak itu berlangsung meriah apabila mahasiswa membawa Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik, sekali gus mewujudkan suasana penuh semangat kemerdekaan dalam kalangan warga kampus.

Lebih menarik, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choi Tsy Jen bersama Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh turut menyertai perarakan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang mengetuai konvoi di sekitar kampus.

- Advertisement / Iklan -

Sembilan kereta berhias bertemakan kemerdekaan yang mewakili sembilan jabatan akademik PUO turut menyertai konvoi berkenaan, menampilkan kreativiti mahasiswa dalam menghias kenderaan selain mengangkat semangat kerja berpasukan.

Program itu diadakan bersempena Peluncuran Bulan Kebangsaan @PUO 2026 dan turut diserikan dengan Bicara Merdeka, bacaan Ikrar Rukun Negara serta persembahan lagu-lagu patriotik.

- Advertisement / Iklan -

Jenny dalam ucapan perasmian berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar perarakan atau pertandingan menghias kenderaan, sebaliknya menjadi ruang untuk mahasiswa menghayati makna kemerdekaan dan memperkukuh semangat patriotisme.

“Program ini merupakan platform memperkukuh semangat patriotisme, nasionalisme dan kecintaan terhadap negara.

"Dengan penyertaan lebih 2,000 orang, ia melambangkan kekuatan kerjasama antara pelajar, staf dan masyarakat dalam menghayati erti sebenar kemerdekaan,” katanya.

Menurutnya, kemerdekaan yang dinikmati hari ini merupakan hasil pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu yang perlu dihargai serta diteruskan oleh generasi muda melalui rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Marilah kita hayati erti kemerdekaan bukan sekadar dalam bentuk perayaan, tetapi melalui amal, tindakan dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Salmi berkata, sambutan Bulan Kebangsaan menjadi antara wadah penting bagi menyemai semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan mahasiswa.

Katanya, penglibatan mahasiswa dalam perarakan dan pertandingan kereta berhias bukan sahaja memberi ruang untuk mereka berkreativiti, malah menggalakkan semangat kerja berpasukan serta menghayati nilai kemerdekaan dan perpaduan.

“Penglibatan aktif mahasiswa dalam program sebegini turut membentuk jati diri dan rasa tanggungjawab mereka sebagai generasi pewaris negara,” katanya.

Program bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ itu dianjurkan bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dan Sekretariat Rukun Negara (SRN) PUO.

Ia turut mendapat kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Perak, Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timor, Pejabat ADUN Canning, Komuniti MADANI Canning B serta Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman (JPKK) PUO.