UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) menghimpunkan kira-kira 700 wakil majikan daripada pelbagai sektor menerusi Program Wacana Perhubungan Perusahaan Malaysia 2026 (WAPP 2026).
Program berskala nasional yang berlangsung dari Mei hingga Ogos 2026 di seluruh negara itu bertujuan meningkatkan kesedaran majikan, pekerja dan masyarakat mengenai kepentingan keharmonian perusahaan sebagai asas kepada kestabilan organisasi serta kesejahteraan masyarakat.
WAPP 2026 turut memberi bimbingan kepada majikan mengenai kaedah mengukur keharmonian organisasi secara sistematik. Dapatan pengukuran itu boleh dijadikan panduan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih harmoni, produktif dan mampan.
Ketua Penyelidik Kajian Keharmonian Perusahaan Nasional, Dr. Suriani Ismail daripada Fakulti Pengajian Pendidikan UPM berkata, keharmonian perusahaan bukan sekadar isu dalaman sesebuah organisasi, sebaliknya memberi kesan langsung kepada pekerja, keluarga, komuniti dan ekonomi negara.
“Hubungan yang harmoni antara majikan dengan pekerja dapat mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, adil dan stabil. Keadaan ini juga membantu mengurangkan tekanan sosial yang boleh timbul akibat konflik pekerjaan.
“Kesannya tidak terhenti di tempat kerja. Apabila kesejahteraan pekerja terpelihara, keluarga dan komuniti turut menerima manfaat, manakala peningkatan produktiviti dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Menurut Suriani, pengukuran yang sistematik membolehkan majikan mengenal pasti lebih awal kekuatan serta perkara yang perlu ditambah baik dalam hubungan di tempat kerja.
“Berdasarkan dapatan pengukuran, majikan dapat merancang tindakan penambahbaikan yang lebih tepat sebelum sesuatu isu berkembang menjadi konflik lebih besar. Keharmonian tidak seharusnya menjadi slogan semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan melalui amalan pengurusan yang dapat dirasai oleh pekerja,” katanya.
Melalui WAPP 2026, kepakaran akademik dan penyelidikan UPM digabungkan dengan pengalaman JPPM dalam pelaksanaan dasar serta pengurusan perhubungan perusahaan. Pendekatan itu membolehkan pengetahuan berasaskan penyelidikan diterjemahkan kepada panduan praktikal untuk digunakan oleh majikan daripada pelbagai sektor.
Wacana berkenaan juga menjadi platform untuk membina jaringan lebih erat antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pihak industri dalam usaha membangunkan ekosistem pekerjaan yang lebih harmoni, inklusif dan mampan.
Penyertaan kira-kira 700 wakil majikan dari seluruh negara dijangka memperluas penerapan amalan pengukuran keharmonian organisasi, sekali gus membantu mengurangkan konflik, meningkatkan produktiviti serta membina hubungan lebih progresif antara majikan dengan pekerja.